Sepatah Kata Dari Admin

Berkata Admin BuduMasham:

"Sekiranya didapati artikel dan tulisan dalam blog ini menyalahi sunnah, maka tinggalkan blog ini, dan ikutilah sunnah. Apa yg baik, diambil, apa yg buruk, jangan segan-segan untuk menegur"

Followers

Tweet!

Like This Blog!

Rabu, 19 Disember 2012

RIAK BOLEH MENGHAPUS AMAL KEBAJIKAN. Jom kenali Nafsu kita

ISLAM sentiasa menyeru umatnya supaya sentiasa beramal atau melakukan perkara kebaikan dengan penuh ikhlas dan mengharapkan reda Allah. Dalam melaksanakan sesuatu amal kebajikan umat Islam sepatutnya menyedari bahawa sifat malu hanya ditujukan kepada Allah. Ini kerana segala isi hati atau niat setiap hamba-Nya hanya diketahui oleh Allah. Sementara manusia pula hanya dapat mengetahui, menilai dan melihat dari segi lahiriah semata-mata. 

Ada umat Islam yang melakukan sesuatu perbuatan atau amalan kebajikan terutama dalam beribadat hanya untuk mengaburi mata manusia semata-mata sesuai dengan pangkat dan kedudukannya. Dengan perlakuan itu dirinya dianggap baik, warak, kuat iman dan rajin beribadat. 

Ia seolah-olah mereka hanya mengharapkan keredaan manusia dan melupakan kebesaran Allah. Sesungguhnya seseorang yang beramal dan mengerjakan sesuatu yang baik semata-mata untuk dihargai dan dipuji orang lain termasuk perbuatan orang munafik. Ia disebut riak' atau pura-pura. 

Riak adalah salah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dalam Islam serta boleh membinasakan martabat dan kemuliaan seseorang insan. Orang yang bersifat riak tergolong dalam orang munafik. Ini kerana adanya persamaan iaitu dalam sifat berpura-pura, kerana orang yang munafik juga mempunyai sifat kepura-puraan. 

Perbuatan riak juga tergolong dalam syirik kecil yang boleh merosakkan dan menghapuskan amal kebajikan serta melunturkan kemurnian akhlak. Selain itu ia akan mendapat kerugian hidup di dunia dan akhirat, seterusnya mengundang laknat Allah.

Islam memandang perbuatan riak sebagai suatu wabak atau penyakit rohani yang cukup bahaya. Ia juga mengancam kemurnian akidah dan iman serta merosakkan nilai keikhlasan hati, keluhuran akhlak dan sebagainya. 

Secara ringkasnya, riak ialah suatu perbuatan yang tersembunyi di dalam hati, perasaan dan peribadi seseorang dengan niat dan tujuan tertentu. Orang yang gemar mengamalkan riak, hidup dan jiwanya penuh dengan kebohongan dan kepalsuan semata-mata. Ini kerana ia bertujuan untuk mengharapkan pujian, sanjungan dan penghormatan daripada orang lain.

Diriwayatkan daripada Jundub al-Alaqiy, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud : 

"Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang
menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang
(melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia,
Allah akan memperlihatkan kecacatannya." 
(Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Meminta Simpati Hadis no. 6018).


Seseorang yang riak juga selalu mengikut hawa nafsu. Biasanya nafsu banyak menggoda dan mempengaruhi perasaan dan jiwa manusia untuk melakukan sesuatu kejahatan. 

Allah berfirman bermaksud: 

"Dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah." 
(Surah Sad, ayat 26).

Manusia pada hakikatnya adalah makhluk Allah yang tidak layak untuk melahirkan perasaan bangga diri, megah dan takbur. Allah mengancam dan memberi amaran keras terhadap hamba-Nya yang melakukan riak dalam kehidupannya. 

Allah mengutuk dan melaknat orang yang melakukan ibadat yang disertakan dengan sifat riak. Selain menghapuskan segala amal kebajikan, sifat riak akan menghalang seseorang daripada mendapat rahmat Allah di dunia dan akhirat. 

Orang yang bersifat riak juga akan mendapat banyak kerugian baik di dunia mahupun di akhirat. Mereka tidak akan mendapat pahala amalan kebajikan. Ini kerana amalan mereka akan menjadi sia-sia seperti debu yang berterbangan dan tidak akan dapat merasai nikmat syurga di akhirat nanti. 

Allah berfirman bermaksud : 

"Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apayang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan." 
(Surah al-Furqan, ayat 23).

Jelaslah pengaruh dan kesan riak itu boleh merosakkan keikhlasan amal ibadat dan kemuliaan akhlak seseorang serta akan mendatangkan kemurkaan Allah. Justeru, sebagai orang beriman, kita sepatutnya sentiasa memperbaiki niat dan tekad dalam melakukan sesuatu amal kebajikan supaya tidak menjadi sia-sia dan memperoleh keredaan daripada Allah.

INTI PATI

Empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia 

Nafsu Ammarah.
Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada pada peringkat ini tidak merasakan perbezaan di antara yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, dia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan, dia tidak gembira. 

Nafsu Lawwamah.
Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan yang positif. 

Nafsu Mulhamah.
Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasakan keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan. 

Nafsu Mutmainnah.
Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya. Ahli falsafah akhlak Islam, Ibnu Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam diri manusia menghasilkan tiga peringkat tabiat manusia. 

Manusia yang baik tabiatnya. 

Manusia yang baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi manusia yang jahat.

Manusia yang jahat tabiatnya. 

Manusia dalam kategori ini tidak akan menjadi baik kerana memang pembawaannya sudah jahat. 

Manusia yang berada di pertengahan tabiatnya. 

Golongan ini boleh berubah menjadi baik atau jahat bergantung kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.

Kredit dari fesbuk Tanyalah Ustaz

Tiada ulasan :