Sepatah Kata Dari Admin

Berkata Admin BuduMasham:

"Sekiranya didapati artikel dan tulisan dalam blog ini menyalahi sunnah, maka tinggalkan blog ini, dan ikutilah sunnah. Apa yg baik, diambil, apa yg buruk, jangan segan-segan untuk menegur"

Followers

Tweet!

Like This Blog!

Ahad, 26 April 2015

Tafsir Ibnu Kathir, Tahzib wa Tartib

Foto Credit : Akhi Fakhri 



BEDAH KITAB.

a) Nama kitab :- Tafsir Ibnu Kathir, Tahzib wa Tartib.
b) Penulis :- Sheikh Dr Solah bin Abdul Fattah Al Khalidi
c) Mukasurat:- 3561 muka surat dengan 6 jilid.
d) Cetakan :- Darul Farouq, Amman, Jordan.

A) Pendahuluan.

Bagi penuntut Ilmu Pengajian Islam, nama Ibn Kathir sudah pasti tidak asing lagi daripada pengetahuan kita. 

Seorang ulama silam yang alim dalam ilmu ilmu syariah khususnya dalam bidang tafsir al quran. 

Magnum opus beliau yang telah sampai kepada kita hari ini ialah Tafsir Al Quran Al 'Azhim ataupun terkenal dengan namanya Kitab Tafsir Ibn Kathir. 

Sebuah kitab tafsir yang amat baik kerana manhaj penulisannya yang berpandukan kepada tafsir bil ma'thur ( menafsir dengan riwayat). 

Umat Islam zaman berzaman telah menerima kitab ini dengan penerimaan yang baik dan ianya tersebar dan telah ditahqiq nuskhahnya dan ditakhrij riwayat riwayatnya oleh ramai ulama.

Kata Imam Ahmad Syakir pada pendahuluan beliau kepada Ringkasan Kitab Ibn Kathir,

''Sesungguhnya selepas kitab tafsir yang ditulis oleh At Tabari, kitab tafsir yang ditulis oleh Ibn Kathir ialah sebaik baik kitab tafsir kerana kelebihannya dan juga kerana ketelitiannya.''

Hal ini kerana manhaj yang dipegang oleh Ibn Kathir ialah sebaik baik manhaj dalam menafsirkan al quran iaitu dengan menafsirkan al quran dengan al quran, kemudian menafsirkan al quran dengan hadith yang sahih dan seterusnya meriwayatkan kata kata salafussoleh dalam menafsirkan ayat ayat al quran. 

Hari ini permasalahan yang telah menimpa muslim kontemporari yang bersemangat ingin memahami Al Quran ialah wujudnya kisah dan riwayat yang tidak sahih dan tidak jelas sumbernya seperti mana yang banyak terdapat pada kitab kitab Tafsir. 

Kebanyakan kisah dan riwayat ini di diambil daripada sumber sumber Israiliyyat.

Tafsir Ibn Kathir juga tidak terlepas daripada ini. 

Penting perlu difahami disini ialah tentang manhaj Ibn Kathir dalam meriwayatkan kisah Israiliyyat iaitu; beliau meriwayatkan kisah Israiliyyat yang tidak bercanggah dengan nas Al Quran dan beliau berdiam diri dengan tidak memberikan sebarang komentar. 

Beliau tidak pula memperakui kisah tersebut dan tidak pula menafikannya. 

Beliau hanya sekadar meriwayatkannya sahaja. 

Hal ini berbeza dengan pandangan ulama ulama pengkaji yang lain yang berpendapat bahawa; kisah kisah Israiliyyat meskipun tidak bercanggah dengan Al Quran tetapi tidak perlu disebarkan ke dalam penulisan tafsir. 

''Tidak memperakui kisah tersebut dan tidak pula menafikannya'' ialah dengan tidak meriwayatkannya sama sekali ke dalam kitab kitab tafsir. 

Begitu juga terdapat riwayat hadith hadith dhaif dan palsu yang bukan sedikit di dalam kitab tafsir Ibn Kathir sehingga mengelirukan orang orang yang membacanya. 

Bagi menjelaskan kekusutan ini, baru baru ini seorang penuntut ilmu telah bertanya sendiri kepada Sheikh Dr Solah Al Khalidi tentang mengapakah kitab kitab tafsir terlalu banyak meriwayatkan kisah israiliyyat, hadith yang dhaif dan palsu. 

Sheikh Dr Solah Al Khalidi menjawab,

'' Ini kerana kitab kitab tafsir ditulis oleh ulama untuk ulama yang lain. Meskipun terdapat banyak riwayat riwayat yang tidak sahih, tetapi mereka mempunyai kemahiran untuk menapisnya. Maka menjadi tugas kita kini untuk membersihkan kitab kitab tafsir ini daripada riwayat yang tidak sahih bagi dibaca oleh orang awam.''

Maka bertitik tolak daripada itu Kitab Tafsir Ibn Kathir telah ditakhrij riwayat riwayatnya oleh ramai ulama silam dan kontemporari bagi memastikan riwayat riwayat yang tinggal hanyalah yang sahih. 

Begitu juga kitab Tafsir Ibn Kathir telah dijadikan ringkasan oleh ramai ulama tafsir silam dan kontemporari dalam tujuh buah kitab ringkasan yang berbeza bagi memudahkan pemahaman pembaca. 

Penulisan ringkas ini bukanlah untuk menyebutkan satu persatu kitab tersebut tetapi cukuplah di sini kita mengetahui bahawa sudah banyak kajian hadith dan ringkasan yang telah dilakukan ke atas kitab Tafsir Ibn Kathir. 

Fokus kita ialah kepada memahami apakah jalan yang telah dituruti oleh Sheikh Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi dalam menulis kitab Tafsir Ibn Kathir, Tahzib wa Tartib ini. 

B) Manhaj Al Khalidi Dalam Penulisan Kitab Tahzib wa Tartib ini.

Pada pandangan Sheikh Dr Solah Al Khalidi, sudah banyak ringkasan kepada Tafsir Ibn Kathir yang telah ditulis oleh ulama ulama sebelum beliau dan kesemua kitab kitab tersebut telah diringkaskan dengan amat baik sekali.

Bagi beliau tidak perlu lagi ditulis ringkasan bagi kitab Tafsir Ibn Kathir ini cuma beliau melihat wujudnya kekurangan pada kitab kitab mukhtasar ini dan menyedari adanya ruang dan peluang bagi penambah baikan Tafsir Ibn Kathir. 

Hal ini dilakukan demi berkhidmat kepada umat Islam zaman sekarang. 

Bagi beliau juga tidak memadai kitab Tafsir Ibn Kathir hanya sekadar diringkaskan bahkan kitab ini memerlukan pembersihan (tahzib) daripada riwayat Israiliyyat dan hadith lemah dan palsu bahkan bukan sekadar itu ianya memerlukan kerja yang lebih besar iaitu disusun (tartib) kembali bagi memudahkan kefahaman orang orang Islam.

Menurut Sheikh Dr Solah Al Khalidi, kitab kitab tafsir Ibn Kathir yang telah dicetak kesemuanya dalam muka surat yang penuh tanpa ada pembahagian dan perenggan yang menyebabkan pembacaanya menyukarkan dan mengelirukan.

Daripada masalah yang timbul ini telah membawa ulama tafsir untuk meringkaskan kitab tersebut (seperti mana yang disebutkan sebelum ini) agar mudah dibaca tetapi kekurangan lain pula ialah ketiadaan susunan dan pembahagian ayat kepada perenggan yang jelas agar dapat selari dengan konteks dan jalan cerita ayat Al Quran tersebut. 

Kebanyakan ringkasan ini dicetak pula dalam jilid yang kecil sehingga menyebabkan ada sesetengah ayat ayatnya kelihatan bersambung dan cetakan tersebut kurang memberikan perhatian kepada pemerengganan dan penyusunan ayat yang baik.

Maka atas sebab itulah Sheikh Dr Solah Al Khalidi dalam penulisan kembali kitab ini memberikan penekanan kepada penyusunan ayat dan tidak memberikan perhatian kepada sebanyak manakah jilid yang bakal dicetak. 

Apa yang penting bagi beliau ialah agar dapat memberikan nafas baru kepada Tafsir Ibn Kathir ke dalam bentuk yang mudah difahami dan membantu pembaca agar berterusan dalam pembacaan mereka.

Dalam proses Tahzib wa Tartib ini Sheikh Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi telah :-

1) Membaca tafsir asal Ibn Kathir daripadan pelbagai cetakan yang berbeza berulang ulang kali bagi memahaminya dengan kefahaman yang terbaik.

2) Beliau membaca juga kitab kitab ringkasan kepada Tafsir Ibn Kathir seperti Umdatul Tafsir tulisan Imam Ahmad Shakir dan Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir tulisan As Sobuni.

3) Setelah itu beliau menggugurkan apa apa yang dilihat tidak penting dalam kitab tafsir tersebut seperti:-
- Riwayat riwayat Israiliyyat.
- Riwayat riwayat yang tidak jelas sumbernya yang memperincikan perbahasan tentang Al Quran.
- Riwayat riwayat hadith yang tidak sahih disandarkan kepada nabi.
- Sanad sanad hadith yang berulang ulang.
- Riwayat sahih yang berulang ulang.
- Sebahagian nama nama ulama silam daripada para sahabat, tabiin, tabi tabiin dan yang selepas mereka yang banyak disebutkan.
- dan kekerapan Ibn Kathir menukilkan pandangan tafsir daripada ulama tafsir lain seperti At Tabari dan Ibn Abi Hatim. 

4) Beliau mengulang semula pembacaan ayat tafsir Ibn Kathir setelah mengetahui apakah yang akan digugurkan daripadanya. 

5) Seterusnya beliau menulis semula tafsir Ibn Kathir dengan memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada penyelarasan ayat dan penyusunannya serta menulisnya kembali dalam ayat yang jelas difahami.

6) Beliau menambah baik penomboran perenggan dan menambah tanda baca seperti kata seru dan kata tanya. Kitab ini juga ditulis dalam perenggan yang jelas agar saling berkaitan antara satu sama lain. 

7) Menyesuaikan pemilihan perkataan ketika diperlukan bagi memastikan ayat yang ditulis berturutan dan dapat difahami.

8) Menomborkan ayat ayat Al Quran dengan menulis nama surah dan nombor ayat seperti yang sedia banyak terdapat dalam tafsir Ibn Kathir. 

9) Mengekalkan kepada pembahagian asal yang telah dibahagikan oleh Ibn Kathir pada ayat ayat Al Quran dan juga mengekalkan perkataan yang Ibn Kathir gunakan yang padanya mengandungi faedah ilmu yang bermanfaat. 

Dalam edisi Tahzib wa Tartib ini Sheikh Dr Solah Al Khalidi tidak memberikan komentar dan syarahan kepada ayat ayat Ibn Kathir kerana tujuan penulisan semula beliau ini ialah sebagai khidmat kepada Tafsir Ibn Kathir agar ayat Ibn Kathir dapat difahami oleh pembaca bukan bertujuan untuk mensyarahkannya. 

10. Akhir sekali, beliau melakukan pemilihan yang terbaik kepada hadith yang diriwayatkan. Hadith yang dipilih ialah yang paling sahih antara kesemuanya dan mengabaikan mana mana yang lemah dan palsu.

Bagi mengtakhrij hadith hadith yang ada dalam kitab ini, Sheikh Dr Solah Al Khalidi telah meminta bantuan daripada sahabat karib beliau yang juga merupakan seorang ulama hadith di Jordan iaitu Sheikh Ibrahim Al Ali rahimahullah. 

Beliau telah mengkaji status kesahihan setiap hadith dan menukilkan sumber sumbernya daripada kitab kitab hadith. 

Hasil kajian Sheikh Ibrahim Al Ali mendapati bahawa terdapat lebih kurang 700 buah hadith sahih, manakala hadith yang lemah lebih banyak iaitu berjumlah 3800 buah hadith - hampir separuh hadith yang terdapat di dalam kitab asal Ibn Kathir ini ialah lemah. 

Maka setelah mengikuti proses yang panjang dan rumit ini maka terhasillah apa yang ada di tangan kita kini iaitu kitab;

Tafsir Ibn Kathir, Tahzib wa Tartib oleh Sheikh Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi.

c) Kesimpulan

Setelah kita memahami manhaj yang diikuti oleh Sheikh Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi dalam menghasilkan kitab ini, maka tidaklah lengkap sekiranya jika kita sendiri tidak memiliki dan membaca kitab ini. 

Rasailah sendiri bagaimana ketilitian Sheikh Dr Solah dalam penulisan kitab ini dan renungilah bagaimana kesungguhan beliau dalam menghasilkannya demi khidmat kepada umat Islam. 

Jika kita ingin membaca ayat asal Ibn Kathir maka kembalilah kepada kitab asal beliau, dan jika kita ingin memahami maksud kata kata Ibn Kathir maka bacalah kitab Tahzib dan Tartib ini. 

Kitab Tafsir Ibn Kathir, Tahzib dan Tartib ini ialah kitab yang perlu dimiliki oleh setiap muslim yang ingin memahami kalam Allah!

Muhammad Fakhri bin Mohd Fadzli,
Kuliah Syariah,
Universiti Jordan, Amman, Jordan.
13/4/2015

Tiada ulasan :