Sepatah Kata Dari Admin

Berkata Admin BuduMasham:

"Sekiranya didapati artikel dan tulisan dalam blog ini menyalahi sunnah, maka tinggalkan blog ini, dan ikutilah sunnah. Apa yg baik, diambil, apa yg buruk, jangan segan-segan untuk menegur"

Followers

Tweet!

Like This Blog!

Isnin, 1 Julai 2013

Bidaah: Pengertian & Hukum

Dalam Fiqh Ibadah, asal sesuatu amalan itu adalah bid'ah atau terlarang, selama tiada nas yang sahih dan nas sareh yang membenarkannya. Ini pendapat pertama.
Adapun pendapat kedua, asal sesuatu amalan itu adalah bid'ah atau terlarang, selama tiada nas yang sahih yang membenarkannya, tidak disyaratkan nas yang sareh.
Lain pula halnya dalam fiqh siyasah(politik) dan fiqh Muamalat. Asal sesuatu perkara itu adalah dihukum HARUS, selama tiada nas sahih dan nas sareh yang melarangnya atau mengharamkannya.


Apakah Itu Bid'ah?
Dalam perkara ini, perlu kita kaji dan selidik, apakah definisi bid'ah itu. Mari kita lihat tulisan Abu ar-Rubayyi' Muhammad Asrie bin Sobri as-Salafy. 

Maksud Bidaah dalam Bahasa:
"Mengadakan sesuatu tanpa contoh sebelumnya". Dalilnya firman Allah S.W.T:

Maksudnya: "Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, Maka (cukuplah) dia Hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" lalu jadilah ia." - [al-Baqarah:117]

Maksud Bidaah dalam Istilah:
1) Takrif yang luas: "Setiap perkara yang tidak pernah wujud dalam zaman Rasulillah S.A.W".

2) Takrif yang khusus : "Satu cara dalam agama yang diada-adakan untuk meniru cara agama yang sebenar diniatkan melakukannya untuk meniru cara yang disyariatkan".

Takrif yang sesuai adalah takrif yang kedua kerana lebih fokus dengan teks hadis Rasulullah S.A.W adapun takrif yang pertama lebih terikat dengan lughah berbanding teks hadis.

Bidaah itu secara ringkas apa yang berlawanan dengan sunnah. Maka perlu kita tahu dahulu makna sunnah itu:
"Jalan atau cara yang diikuti dalam agama yang warid daripada Rasulullah S.A.W atau para sahabat baginda para as-Salaf as-Soleh".
Maka bidaah itu:
"Jalan atau cara yang diikut (diamal) dalam agama yang tidak warid daripada Rasulullah S.A.W atau sahabat baginda dan as-Salaf as-Soleh".



Kedudukan Bidaah:
Bidaah itu perbuatan yang dicela pada syara' berdasarkan hadis-hadis berikut:

1- وإياكم ومحدثات الأمور ؛ فإن كل محدثة بدعة ، وكل بدعة ضلالة

Maksudnya: "dan berjaga-jagalah kamu daripada mengada-adakan perkara agama kerana setiap yang diada-adakan dalam agama itu bidaah dan setiap bidaah itu membawa kesesatan" - [Abu Daud, Ibn Majah, at-Tarmizi, Sahih]

2- إن أصدق الحديث كتاب الله ، وأحسن الهدي هدي محمد ، وشر الأمور محدثاتها ، وكل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار

Maksudnya: "Sesungguhnya sebenar-benar perkataan ialah Kitab Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara apa yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu menyesatkan dan setiap yang menyesatkan membawa ke nereka" - [an-Nasai, asalnya dalam Muslim,sahih]

3- من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Maksudnya: "Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami(agama) yang tidak ada asal padanya maka ia tertolak" - [al-Bukhari & Muslim].

Ketiga-tiga hadis ini memberikan kita takrif bidaah yang ringkas dan padat iaitula: "Perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama tanpa dalil". Maka tidak termasuk bidaah itu :Membuat alatan-alatan elektronik, makanan yang beraneka jenis, jenis pakaian selama tidak menyerupai orang kafir dan sebagainya daripada adat keduniaan selama tidak dijadikan ibadah mahdah.

Demikian lagi bukan termasuk bidaah mengumpul al-Quran kerana ada dalilnya iaitu masalih al-mursalah, solat terawih berjemaah kerana ada dalilnya yang sorih daripada perbuatan nabi dan sebagainya.

Demikian juga menjadi bidaah perkara-perkara ijtihadi apabila jelas kesalahan mujtahid dalam istidlal seperti berlafaz dengan niat walaupun terdapat ijtihad mengatakan ia sunat dengan cara qias ia menjadi bidaah kerana berlawanan dengan qaedah qias: "Tidak ada qias dalam perkara solat" dan "Tidak ada qias dengan wujudnya nas".

Qaedah Menetapkan Bidaah:
3 usul yang menjadikan sesuatu amalan bidaah:
1- Beribadah dengan perkara-perkara atau cara-cara yang tidak disyariatkan.
2- Keluar daripada sempadan agama dalam beribadah
3- Amalan-amalan yang membawa kepada bidaah adalah bidaah.

Setiap asal ini terdapat pula kaedah-kaedah di bawahnya yang terlalu panjang untuk dijelaskan. Maka kami akan menjelaskan secara ringkas:

Asal Pertama: Mereka yang beribadah dengan ibadah yang tidak ada dalam syara' adalah bidaah seperti menjadikan perkahwinan itu mesti dalam bulan tertentu atau menjadikan satu-satu adat dalam perkahwinan sebagai wajib seperti kewajipan syara'. Ini dinamakan bidaah haqiqi.

Demikian juga jika dia melakukan ibadah yang ada asal dalam syariat tetapi tidak mengikut cara yang benar seperti berzikir secara jama'i selepas solat, solat sunat hajat berjemaah di masjid, mengadakan perayaan hari ibu dan bapa kerana berbakti kepada ibu bapa itu ibadah tetapi bukan dengan merayakan mereka dan seumpamanya. Ini yang disebut bidaah idhafi.

Asal Kedua: Asal kedua ini meliputi beribadah kepada Allah dengan perkara yang dilarang maka ia menyentuh bidaah haqiqi. Misalnya orang yang mengambil dadah secara salah untuk menguatkan tubuh kononnya dalam berjihad, orang yang mengadakan tarian dan nyanyian dengan dakwaan menjadi sarana dakwah, dan termasuk juga meniru adat-adat budaya orang-orang kafir.

Asal Ketiga: Perkara yang boleh membawa kepada berlakunya bidaah seperti solat sunat mutlak selepas azan kedua jumaat kerana boleh menyebabkan manusia menyangka adanya solat sunat qabliyyah jumaat, sentiasa berterusan membaca surah as-Sajdah dan al-Insan dalam solat subuh pagi Jumaat takut disangka ianya wajib, dan sebagainya.

Adakah adat menjadi bidaah?:
Adat apabila berlaku padanya salah satu perkara maka dia menjadi bidaah:
1- Dijadikan sebagai ibadah seperti orang yang memakai baju bulu dengan sangkaan adanya perintah agama memakainya, orang yang tidak makan daging dengan sangkaan ibadah kepada Allah dan orang yang meninggalkan berubat dengan cara moden kerana tidak islamik pada iktiqadnya.

2- Apabila adat itu menyerupai amalan atau agama kafir seperti memakai pakaian paderi atau seumpama paderi, menyambut perayaan-perayaan kemerdekaan, hari ibu dan bapa, hari guru, hari pekerja, hari kekasih dan sebagainya.

Mengkhususkan Ibadah yang mutlak:
Ibadah yang syara' suruh kita lakukan secara mutlak tanpa batas waktu tertentu menjadi bidaah apabila kita mengkhususkan waktu tertentu untuk melakukannya. Sebagai contoh membaca surah tertentu daripada al-Quran dengan dikhususkan pada malam tertentu dengan bukan niat 'tanzim' (pengurusan). Jika seseorang melakukan sesuatu amalan mutlak tertentu pada waktu tertentu sebagai tanzim bukan taqyid diharuskan seperti penyusunan jadwal waktu belajar, menyusun juzuk-juzuk al-Quran tertentu untuk dibaca pada malam tertentu, mengkhususkan satu hari cuti untuk menziarahi ibu dan meletakkan satu hari bagi melaksanakan kempen tertentu seperti hari tembakau sedunia, hari kanak-kanak sedunia dan seumpamnya yang bukan untuk dirayakan tetapi untuk melaksankan program tertentu dan menyeragamkam pelaksanaan tersebut.

Bidaah Perayaan:
Perayaan bermaksud hari atau tempat yang padanya terdapat perhimpunaan dan kesukaan untuk meraikan sesuatu dan berulang-ulang. Dalam Kamus Pelajar, DBP ditakrifkan sebagai: "Hari yang diraikan kerana sebab-sebab tertentu" dan dalam Kamus Dewan Edisi ke-3 ditakrifkan Perayaan sebagai: Pesta untuk merayakan 9 membesarkan dan memuliakan sesuatu peristiwa, keramaian, perjamuan dan lain-lain". Dalam Islam hanya terdapat 2 perayaan tahunan dan 1 peryaan mingguan iaitulah; eidul Fitri, eidul Adha dan Hari Jumaat. Perayaan selain 3 ini adalah bidaah walaupun yang dilakukan hanya perkara-perkara adat seperti perarakan dan persembahan permainan kerana hadis baginda S.A.W:

عن أنس بن مالك قال: كان لأهل الجاهلية يومان في كل سنة يلعبون فيهما فلما قدم النبي صلى الله عليه و سلم المدينة قال: كان لكم يومان تلعبون فيهما وقد أبدلكم الله بهما خيرا منهما يوم الفطر ويوم الأضحى

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik R.A katanya: Adalah orang Jahiliyyah itu mempunyai 2 hari dalam setahun mereka bermain-main (bersuka ria) padanya, maka apabila Nabi S.A.W tiba di Madinah baginda bersabda: "Sesungguhnya 2 hari yang kamu jadikan untuk bersuka-suka padanya itu telah Allah gantikan dengan yang lebih baik iaitulah hari al-Fitri dan al-Adha". - [Abu Daud, an-Nasai-Sahih]

Syahid dalam hadis ini meyatakan perayaan yang Rasulullah S.A.W larang untuk disambut itu bukanlah ada padanya ibadah khusus tetapi hanyalah hari mereka bersuka-ria mengadakan pesta. Maka apa-apa hari yang demikian rupanya berulang-ulang pada setiap tahun maka ia adalah perayaan dalam takrif syara' dan bidaah.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah R.H menyatakan istilah Eid itu merangkumi:
1- Ibadat yang dilakukan pada hari itu

2- Tempat yang diadakan.

3- Adat-adat yang diadakan.

4- Segala upacara yang diadakan sebelum dan selepas hari tersebut yang berkaitan dengan perayaan itu.

Maka jelaslah bahawa perayaan-perayaan Hari Ibu, Bapa, Guru, Pekerja dan Kemerdekaan adalah bidaah walaupun tidak dibuat padanya ibadat khusus. Adapun hari Tembakau misalnya tidak dinamakan perayaan kerana ia bukan untuk menyambut atau meraikan tembakau tetapi adalah kempen supaya meninggalkan rokok maka menentukan hari tertentu untuk melaksanakan kempen ini adalah harus jika dengan tujuan tanzim adapun dengan tujuan taqyid maka bidaah jua kerana amar makruf nahi munkar itu ibadah mutlak.

Hukum Bidaah:
Bidaah itu dicela dan dilarang dalam agama tetapi jenis hukumya berperingkat-peringkat dan kadang-kadang berbeza mengikut keadaan pelakunya. Penjelasannya seperti berikut:

1- Bidaah Mukaffirah : Iaitulah yang boleh mengkafirkan pelakunya seperti bidaah kaum jahiliyyah menyembah berhala dengan tujuan mendekatkan diri pada Allah dan seumpamanya bidaah beristighasah dengan wali dan orang mati yang dilakukan kaum sufi.

2- Bidaah Ghair Mukaffirah: Iaitulah yang tidak mengkafirkan dan berperingkat pula
· Kabirah : Iaitu dosa besar seperti mengubah syiar agama dengan menambah solat-solat yang tiada asal atau membuat iktiqad-iktiqad yang bidaah.
· Shagirah: Dosa kecil jika dilakukan dalam perkara-perkara yang tidak mengubah syiar agama dan bukan perkara dharuri agama.

Pembuat bidaah:
Tedapat 2 jenis pembuat bidaah:
1- Yang menyeru kepada bidaahnya: Dia hendaklah ditahzirkan dan dihajar.

2- Yang tidak menyeru kepada bidaahnya: Dinasihatkan dan diberi peringatan sampai dia bertaubat.

Adapun muqallid atau pentaqlid dikira menjadi ahli bidaah apabila:
1- Dia melakukannya dalam keadaan tahu perkara itu bidaah dan faham keharamannya.
2- Dengan suka rela tanpa paksaan.
3- Tidak ada syubhat padanya.

Ikhtilaf dalam Bidaah:
Jika sesuatu perkara yang dihukum bidaah itu oleh sebahagian Ulama' Ahli Sunnah wal Jamaah dan sebahagian lagi tidak atau mengatakan sunnah maka mereka yang telah jelas dan rajih padanya dalil bahawa perkara itu bidaah kemudian ingkar meninggalkannya kerana taksub termasuk dalam orang yang membuat bidaah. Adapun jika dia masih samar-samar atau melihat rajihnya pendapat yang mengatakan sunnah maka dia dimaafkan dan semoga Allah memberi pahala atas ijtihadnya. Tidak boleh dihajar dan ditahzir dalam perkara bidaah seumpama ini. Contohnya banyak seperti:

  • Doa Qunut Subuh
  • Membaca Basmalah secara jahar dalam solat jahriah
  • Meletakkan tangan di dada semasa iktidal
  • Rakaat solat terawih
  • Menggerak-gerakan jari sewaktu tasyahhud.

Wallahua'lam.
 

Tiada ulasan :