Persoalan yang
timbul apakah hukum menyebarkan hadith palsu? Menyebarkan atau menyampaikan
hadith palsu dengan diketahui bahawa hadith tersebut adalah palsu, hukumnya
adalah haram. Sama ada hadith tersebut berkaitan hukum-hakam, kisah sejarah,
tarhib (menakutkan orang ramai terhadap perkara maksiat) dan targhib
(menggalakkan perkara ibadat) dan sebagainya.
Terdapat beberapa hadith Nabi yang termaktub
dalam kitab-kitab hadith mengenai ancaman berdusta atas nama Baginda
Sallallahu'alaihiwasallam.
Hadith yang mutawattir bahawa Rasulullah
Sallallahu'alaihiwasallam berpesan dengan sabdanya :
من كذب علي متعمدا، فليتبوأ
مقعده من النار
Maksudnya : "Barang
Siapa berdusta atas namaku dengan sengaja, maka tempahlah tempatnya di neraka"
(Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, Ahmad, at-Tirmizi
dan lain-lain)
Baginda
Sallallahu'alaihiwasallam bersabda lagi :
من حدّث عني بحديث يرى
أنه كذب فهو أحد الكاذبين
Maksudnya : "Barang
siapa yang menceritakan daripadaku suatu hadith, dan dia mengetahui Ia adalah
dusta, maka dia juga salah seorang daripada pendusta" (Hadith
diriwayatkan oleh Muslim)
Para Ulama generasi salaf sepakat mengenai perkara ini,
iaitu hukum mengebarkan hadith palsu adalah haram sepertimana yang dinyatakan
oleh Imam al-Suyuti dalam kitabnya Tadrib al-Rawi.
Begitu juga menyebarkan sesuatu hadith yang belum dikenalpasti akan
kesahihan hadith tersebut. Syaikh Syu'aib al-Arnaoth dalam mentahqiq kitab
Siyar A'lam al-Nubala menukilkan :
قد قال محدث الديار الشامية الشيخ
بدر الدين الحسني: لا يجوز إسناد حديث لرسول الله صلى الله عليه وسلم إلا إذا نص على صحة هذا الحديث حافظ من الحفاظ
المعروفين، فمن قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو لا يعلم صحة ذلك من طريق
أحد الحفاظ يوشك أن يصدق عليه حديث " من قال علي ما لم أقل فليتبوأ مقعده من النار"
“Sesungguhnya seorang ulama hadith Syam,
Badruddin al-Hasani telah berkata, tidak harus menyandarkan sesebuah hadith
kepada Rasulullah salallahu‘alaihi-wasallam kecuali apabila dinyatakan
kesahihannya oleh seorang huffaz yang dikenali. Sesiapa yang berkata,
Rasulullah salallahu‘alaihiwasallam telah bersabda, sedangkan dia tidak tahu
kesahihan hadith tersebut dibimbangi dia termasuk dalam hadith yang menyebut:
“Sesiapa yang berdusta ke atasku sesuatu yang aku tidak ucapkan, maka siap
sedialah tempat duduknya dalam neraka”[1]
Menurut Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (wafat
1403h) dalam kitabnya al-Wasit fi 'Ulum wa al-Mustalah al-Hadith,
katanya :
لا يحل رواية الموضوع في
أي باب من الأبواب إلا مقترنا ببيان وضعه سواء في ذلك ما يتعلق بالحلال والحرام أو
الفضائل أو الترغيب والترهيب والقصص والتواريخ ونحوها
"Tidak halal menyampaikan hadith palsu
dalam apa perkara sekalipun melainkan diterangkan bersama mengenai
kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan perkara halal dan haram, fadhail,
al-Targhib (menggalakkan ibabat), al-Tarhib (menakutkan orang ramai terhadap
maksiat), kisah-kisah dan lain-lain."[2]
Sesiapa
yang menyampaikan atau menyebarkan sesuatu hadith tanpa keterangan martabat
hadith, bererti dia sudah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai
pendusta.