Sepatah Kata Dari Admin

Berkata Admin BuduMasham:

"Sekiranya didapati artikel dan tulisan dalam blog ini menyalahi sunnah, maka tinggalkan blog ini, dan ikutilah sunnah. Apa yg baik, diambil, apa yg buruk, jangan segan-segan untuk menegur"

Followers

Tweet!

Like This Blog!

Ahad, 26 April 2015

Tafsir Ibnu Kathir, Tahzib wa Tartib

Tiada ulasan :
Foto Credit : Akhi Fakhri 



BEDAH KITAB.

a) Nama kitab :- Tafsir Ibnu Kathir, Tahzib wa Tartib.
b) Penulis :- Sheikh Dr Solah bin Abdul Fattah Al Khalidi
c) Mukasurat:- 3561 muka surat dengan 6 jilid.
d) Cetakan :- Darul Farouq, Amman, Jordan.

A) Pendahuluan.

Bagi penuntut Ilmu Pengajian Islam, nama Ibn Kathir sudah pasti tidak asing lagi daripada pengetahuan kita. 

Seorang ulama silam yang alim dalam ilmu ilmu syariah khususnya dalam bidang tafsir al quran. 

Magnum opus beliau yang telah sampai kepada kita hari ini ialah Tafsir Al Quran Al 'Azhim ataupun terkenal dengan namanya Kitab Tafsir Ibn Kathir. 

Sebuah kitab tafsir yang amat baik kerana manhaj penulisannya yang berpandukan kepada tafsir bil ma'thur ( menafsir dengan riwayat). 

Umat Islam zaman berzaman telah menerima kitab ini dengan penerimaan yang baik dan ianya tersebar dan telah ditahqiq nuskhahnya dan ditakhrij riwayat riwayatnya oleh ramai ulama.

Kata Imam Ahmad Syakir pada pendahuluan beliau kepada Ringkasan Kitab Ibn Kathir,

''Sesungguhnya selepas kitab tafsir yang ditulis oleh At Tabari, kitab tafsir yang ditulis oleh Ibn Kathir ialah sebaik baik kitab tafsir kerana kelebihannya dan juga kerana ketelitiannya.''

Hal ini kerana manhaj yang dipegang oleh Ibn Kathir ialah sebaik baik manhaj dalam menafsirkan al quran iaitu dengan menafsirkan al quran dengan al quran, kemudian menafsirkan al quran dengan hadith yang sahih dan seterusnya meriwayatkan kata kata salafussoleh dalam menafsirkan ayat ayat al quran. 

Hari ini permasalahan yang telah menimpa muslim kontemporari yang bersemangat ingin memahami Al Quran ialah wujudnya kisah dan riwayat yang tidak sahih dan tidak jelas sumbernya seperti mana yang banyak terdapat pada kitab kitab Tafsir. 

Kebanyakan kisah dan riwayat ini di diambil daripada sumber sumber Israiliyyat.

Tafsir Ibn Kathir juga tidak terlepas daripada ini. 

Penting perlu difahami disini ialah tentang manhaj Ibn Kathir dalam meriwayatkan kisah Israiliyyat iaitu; beliau meriwayatkan kisah Israiliyyat yang tidak bercanggah dengan nas Al Quran dan beliau berdiam diri dengan tidak memberikan sebarang komentar. 

Beliau tidak pula memperakui kisah tersebut dan tidak pula menafikannya. 

Beliau hanya sekadar meriwayatkannya sahaja. 

Hal ini berbeza dengan pandangan ulama ulama pengkaji yang lain yang berpendapat bahawa; kisah kisah Israiliyyat meskipun tidak bercanggah dengan Al Quran tetapi tidak perlu disebarkan ke dalam penulisan tafsir. 

''Tidak memperakui kisah tersebut dan tidak pula menafikannya'' ialah dengan tidak meriwayatkannya sama sekali ke dalam kitab kitab tafsir. 

Begitu juga terdapat riwayat hadith hadith dhaif dan palsu yang bukan sedikit di dalam kitab tafsir Ibn Kathir sehingga mengelirukan orang orang yang membacanya. 

Bagi menjelaskan kekusutan ini, baru baru ini seorang penuntut ilmu telah bertanya sendiri kepada Sheikh Dr Solah Al Khalidi tentang mengapakah kitab kitab tafsir terlalu banyak meriwayatkan kisah israiliyyat, hadith yang dhaif dan palsu. 

Sheikh Dr Solah Al Khalidi menjawab,

'' Ini kerana kitab kitab tafsir ditulis oleh ulama untuk ulama yang lain. Meskipun terdapat banyak riwayat riwayat yang tidak sahih, tetapi mereka mempunyai kemahiran untuk menapisnya. Maka menjadi tugas kita kini untuk membersihkan kitab kitab tafsir ini daripada riwayat yang tidak sahih bagi dibaca oleh orang awam.''

Maka bertitik tolak daripada itu Kitab Tafsir Ibn Kathir telah ditakhrij riwayat riwayatnya oleh ramai ulama silam dan kontemporari bagi memastikan riwayat riwayat yang tinggal hanyalah yang sahih. 

Begitu juga kitab Tafsir Ibn Kathir telah dijadikan ringkasan oleh ramai ulama tafsir silam dan kontemporari dalam tujuh buah kitab ringkasan yang berbeza bagi memudahkan pemahaman pembaca. 

Penulisan ringkas ini bukanlah untuk menyebutkan satu persatu kitab tersebut tetapi cukuplah di sini kita mengetahui bahawa sudah banyak kajian hadith dan ringkasan yang telah dilakukan ke atas kitab Tafsir Ibn Kathir. 

Fokus kita ialah kepada memahami apakah jalan yang telah dituruti oleh Sheikh Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi dalam menulis kitab Tafsir Ibn Kathir, Tahzib wa Tartib ini. 

B) Manhaj Al Khalidi Dalam Penulisan Kitab Tahzib wa Tartib ini.

Pada pandangan Sheikh Dr Solah Al Khalidi, sudah banyak ringkasan kepada Tafsir Ibn Kathir yang telah ditulis oleh ulama ulama sebelum beliau dan kesemua kitab kitab tersebut telah diringkaskan dengan amat baik sekali.

Bagi beliau tidak perlu lagi ditulis ringkasan bagi kitab Tafsir Ibn Kathir ini cuma beliau melihat wujudnya kekurangan pada kitab kitab mukhtasar ini dan menyedari adanya ruang dan peluang bagi penambah baikan Tafsir Ibn Kathir. 

Hal ini dilakukan demi berkhidmat kepada umat Islam zaman sekarang. 

Bagi beliau juga tidak memadai kitab Tafsir Ibn Kathir hanya sekadar diringkaskan bahkan kitab ini memerlukan pembersihan (tahzib) daripada riwayat Israiliyyat dan hadith lemah dan palsu bahkan bukan sekadar itu ianya memerlukan kerja yang lebih besar iaitu disusun (tartib) kembali bagi memudahkan kefahaman orang orang Islam.

Menurut Sheikh Dr Solah Al Khalidi, kitab kitab tafsir Ibn Kathir yang telah dicetak kesemuanya dalam muka surat yang penuh tanpa ada pembahagian dan perenggan yang menyebabkan pembacaanya menyukarkan dan mengelirukan.

Daripada masalah yang timbul ini telah membawa ulama tafsir untuk meringkaskan kitab tersebut (seperti mana yang disebutkan sebelum ini) agar mudah dibaca tetapi kekurangan lain pula ialah ketiadaan susunan dan pembahagian ayat kepada perenggan yang jelas agar dapat selari dengan konteks dan jalan cerita ayat Al Quran tersebut. 

Kebanyakan ringkasan ini dicetak pula dalam jilid yang kecil sehingga menyebabkan ada sesetengah ayat ayatnya kelihatan bersambung dan cetakan tersebut kurang memberikan perhatian kepada pemerengganan dan penyusunan ayat yang baik.

Maka atas sebab itulah Sheikh Dr Solah Al Khalidi dalam penulisan kembali kitab ini memberikan penekanan kepada penyusunan ayat dan tidak memberikan perhatian kepada sebanyak manakah jilid yang bakal dicetak. 

Apa yang penting bagi beliau ialah agar dapat memberikan nafas baru kepada Tafsir Ibn Kathir ke dalam bentuk yang mudah difahami dan membantu pembaca agar berterusan dalam pembacaan mereka.

Dalam proses Tahzib wa Tartib ini Sheikh Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi telah :-

1) Membaca tafsir asal Ibn Kathir daripadan pelbagai cetakan yang berbeza berulang ulang kali bagi memahaminya dengan kefahaman yang terbaik.

2) Beliau membaca juga kitab kitab ringkasan kepada Tafsir Ibn Kathir seperti Umdatul Tafsir tulisan Imam Ahmad Shakir dan Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir tulisan As Sobuni.

3) Setelah itu beliau menggugurkan apa apa yang dilihat tidak penting dalam kitab tafsir tersebut seperti:-
- Riwayat riwayat Israiliyyat.
- Riwayat riwayat yang tidak jelas sumbernya yang memperincikan perbahasan tentang Al Quran.
- Riwayat riwayat hadith yang tidak sahih disandarkan kepada nabi.
- Sanad sanad hadith yang berulang ulang.
- Riwayat sahih yang berulang ulang.
- Sebahagian nama nama ulama silam daripada para sahabat, tabiin, tabi tabiin dan yang selepas mereka yang banyak disebutkan.
- dan kekerapan Ibn Kathir menukilkan pandangan tafsir daripada ulama tafsir lain seperti At Tabari dan Ibn Abi Hatim. 

4) Beliau mengulang semula pembacaan ayat tafsir Ibn Kathir setelah mengetahui apakah yang akan digugurkan daripadanya. 

5) Seterusnya beliau menulis semula tafsir Ibn Kathir dengan memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada penyelarasan ayat dan penyusunannya serta menulisnya kembali dalam ayat yang jelas difahami.

6) Beliau menambah baik penomboran perenggan dan menambah tanda baca seperti kata seru dan kata tanya. Kitab ini juga ditulis dalam perenggan yang jelas agar saling berkaitan antara satu sama lain. 

7) Menyesuaikan pemilihan perkataan ketika diperlukan bagi memastikan ayat yang ditulis berturutan dan dapat difahami.

8) Menomborkan ayat ayat Al Quran dengan menulis nama surah dan nombor ayat seperti yang sedia banyak terdapat dalam tafsir Ibn Kathir. 

9) Mengekalkan kepada pembahagian asal yang telah dibahagikan oleh Ibn Kathir pada ayat ayat Al Quran dan juga mengekalkan perkataan yang Ibn Kathir gunakan yang padanya mengandungi faedah ilmu yang bermanfaat. 

Dalam edisi Tahzib wa Tartib ini Sheikh Dr Solah Al Khalidi tidak memberikan komentar dan syarahan kepada ayat ayat Ibn Kathir kerana tujuan penulisan semula beliau ini ialah sebagai khidmat kepada Tafsir Ibn Kathir agar ayat Ibn Kathir dapat difahami oleh pembaca bukan bertujuan untuk mensyarahkannya. 

10. Akhir sekali, beliau melakukan pemilihan yang terbaik kepada hadith yang diriwayatkan. Hadith yang dipilih ialah yang paling sahih antara kesemuanya dan mengabaikan mana mana yang lemah dan palsu.

Bagi mengtakhrij hadith hadith yang ada dalam kitab ini, Sheikh Dr Solah Al Khalidi telah meminta bantuan daripada sahabat karib beliau yang juga merupakan seorang ulama hadith di Jordan iaitu Sheikh Ibrahim Al Ali rahimahullah. 

Beliau telah mengkaji status kesahihan setiap hadith dan menukilkan sumber sumbernya daripada kitab kitab hadith. 

Hasil kajian Sheikh Ibrahim Al Ali mendapati bahawa terdapat lebih kurang 700 buah hadith sahih, manakala hadith yang lemah lebih banyak iaitu berjumlah 3800 buah hadith - hampir separuh hadith yang terdapat di dalam kitab asal Ibn Kathir ini ialah lemah. 

Maka setelah mengikuti proses yang panjang dan rumit ini maka terhasillah apa yang ada di tangan kita kini iaitu kitab;

Tafsir Ibn Kathir, Tahzib wa Tartib oleh Sheikh Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi.

c) Kesimpulan

Setelah kita memahami manhaj yang diikuti oleh Sheikh Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi dalam menghasilkan kitab ini, maka tidaklah lengkap sekiranya jika kita sendiri tidak memiliki dan membaca kitab ini. 

Rasailah sendiri bagaimana ketilitian Sheikh Dr Solah dalam penulisan kitab ini dan renungilah bagaimana kesungguhan beliau dalam menghasilkannya demi khidmat kepada umat Islam. 

Jika kita ingin membaca ayat asal Ibn Kathir maka kembalilah kepada kitab asal beliau, dan jika kita ingin memahami maksud kata kata Ibn Kathir maka bacalah kitab Tahzib dan Tartib ini. 

Kitab Tafsir Ibn Kathir, Tahzib dan Tartib ini ialah kitab yang perlu dimiliki oleh setiap muslim yang ingin memahami kalam Allah!

Muhammad Fakhri bin Mohd Fadzli,
Kuliah Syariah,
Universiti Jordan, Amman, Jordan.
13/4/2015

Isnin, 30 Mac 2015

Nota Ringkas : Hukum Talqin

1 ulasan :
Definisi talqin ialah mengajarkan ucapan syahadah pada orang yang berada dalam sakaratulmaut. Dan amalan ini adalah sunnah menurut seluruh sepakat fuqaha, iaitu berdalilkan hadith yang dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya :
لقنوا موتاكم لا إله إلا الله
"ajarlah orang yg hampir mati dikalangan kamu kalimah Lailaha illallah"

Tiada khilaf dalam bab ini. Adapun talqin selepas mayat dikebumikan disana terdapat beberapa pandangan dikalangan ulama fuqaha. Sebagai penuntut ilmu, adalah menjadi tanggungjawab mengemukakan hujjah secara adil dan tidak menyembunyikan fakta dari menaqalkan qaul ulama, sekaligus tidak buyers dalam metode mengemukakan hujjah.

1. jumhur ulama syafieyyah mutaakhirin semisal Imam al-Nawawi rh dan selepasnya menyatakan amalan ini sunat. Tidak perlu saya kemukakan hujah kerana sahabat-sahabat saya telah pun mengulasnya dengan panjang lebar.
2.  pendapat kedua, iaitu hukumnya bid'ah atau makruh. Pertama sekali, kita lihat dalam kitab fiqh sunnah karangan Sayyid Sabiq :
وذهبت المالكية في المشهور عنهم، وبعض الحنابلة الى ان التلقين مكروه
"Pendapat yang masyhur dikalangan ulama malikiyah dan sebahagian mazhab Hanbali bahawa talqin hukumnya makruh"

Selain itu, Imam al-Suyuti (911 H) yang merupakan antara kibar ulama dalam mazhab syafie pula menegaskan :

“… Kerana talkin tidak sabit melalui hadis sahih mahupun hasan bahkan, hadisnya da’if dengan sepakat ahli hadis. Oleh sebab itu, jumhur ummah mengatakan talkin bidaah. Ulama terakhir yang memfatwakan begitu ialah Syeikh ‘Izz al-Din b. ‘Abd al-Salam. Ibnu al-Salah dan diikuti pula oleh al-Nawawi menggalakkannya hanya melihatkan kepada kaedah bahawa hadis da’if dilonggarkan penggunaannya dalam fada’il al-a’mal.”
[Tulu’ al-Tsariyya bi-Izhar ma Kana Khafiyya; Jabir Zayd al-Samiri (ed); dalam jurnal Majallah al-Jami’ah al-Islamiyyah (2009 M); jil. 14, bil. 2, hal. 144]

Ini kerana mereka yang mengatakan sunat telah berdalilkan sebuah hadith daripada Abu 'Umamah dalam hadith yg agak panjang. Hadith ini dinilai dhaif oleh al-Haitami (ulama dalam mazhab syafie), Imam Nawawi dalam majmu', Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam Zaadul Ma'ad, al-Hafiz al-Iraqi dalam takhrij Ihya, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Baari, Imam Son'ani dalam Subulussalam syarah bulughul Marom, bahkan Imam Son'ani ketika membuat kesimpulan mengenai talqin selepas pengebumian mayat seperti berikut :

إنه حديث ضعيف ويتحصل من كلام أئمة التحقيق أنه حديث ضعيف والعمل به بدعة ولا يغتر بكثرة من يفعله


Sesungguhnya hadith itu dhoif, dan didapati kalam ulama tahqiq bahawa kedhaifan hadith tersebut, dan mengamalkannya adalah bid'ah dan jangan tertipu dengan kebanyakkan orang yg mengamalkannya.

Rabu, 3 Disember 2014

Fatwa Para Ulama mengenai Lafaz 'Madad Ya Rasulallah"

Tiada ulasan :


1- Fatwa al-Syaikh al-Muhaddith al-Hafiz Abu Muhammad Ahmad Muhammad Shihatah al-Alfy al-Sakandary (Iskandariah, Mesir), jawab beliau:

 "Tidak boleh sama sekali seseorang menyebut "madad ya Rasulallah", dan tidak boleh bagi seseorang untuk bertawassul kepada Nabi SAW selepas kematiannya, yang boleh ialah bertawassul dengan mereka yang masih hidup sebagaimana peristiwa istisqa satu kaum yang meminta kepada al-'Abbas, mereka tidak pergi kepada Nabi kerana baginda telah mati, sebaliknya kepada al-'Abbas yang hidup" 

 ** Saya juga bertanya kepada guru saya al-Syaikh Al-Alfy berkenaan riwayat Malik al-Daar, berkait peristiwa seorang lelaki pergi meminta kepada Nabi di kubur baginda, saya menunjukkan matan riwayat berserta sanad kepada Syaikhuna al-Alfy, maka beliau pun membaca sanadnya secara kuat di hadapan saya, kata Syaikhuna: 

 "Telah menceritakan kami Abu Mu'awiyah daripada al-'Amash daripada Abi Soleh daripada Malik al-Daaar katanya..."...kemudian Syaikhuna al-Alfy diam seketika (3 saat) selepas membaca sanad, kemudian beliau bersuara kembali katanya "ya, ya Malik al-Daar baginya sedikit masalah, dia diperkatakan (iaitu dia dikritik)" 

 Mendengar jawapan itu maka saya bertanya lagi, soal saya "bagaimanakah keadaan diri Malik al-Daar? Adakah dia Majhul?" Maka jawab Syaikhuna al-Alfy secara spontan, kata Syaikhuna: 

 "Tidak, tidak, beliau bukan Majhul, sebahagian menilainya Thiqah, namun hadith ini bermasalah pada matan, nakarah matan, bercanggah dengan al-Quran dan usul aqidah". ==== 

2- Fatwa al-Syaikh al-Muhaddith Dr. Waleed Idrees al-Sakandary thumma al-Meneesy (Iskandariah, Mesir/Minnesota, Amerika Syarikat), jawab beliau:

 وعليكم السلام، لا يجوز قول هذه العبارة وهي شرك بالله تعالى لأن المدد هو طلب الزيادة في الرزق والقوة فكلمة المدد يا رسول الله هي استعانة بالنبي عليه الصلاة والسلام بعد وفاته في شيء لا يقدر عليه وهي من دعاء غير الله وهذا شرك قال تعالى مخاطبا النبي عليه الصلاة والسلام ( قل لا أملك لنفسي نفعا ولا ضرا إلا ما شاء الله ) ولأن النبي عليه الصلاة والسلام يقول (الدعاء هو العبادة ) فمن دعا غير الله فقد أشرك وعليه أن يتوب إلى الله من ذلك ولم يحصل قط من السلف الصالح أن قالوا هذه العبارة ولا طلبوا شيئا من النبي عليه الصلاة والسلام بعد وفاته حتى إن الصحابة لما نقص المطر واحتاجوا الاستسقاء في عهد عمر طلبوا من العباس أن يصلي بهم الاستسقاء ويدعو لهم ولو كان يجوز الطلب من النبي عليه الصلاة والسلام بعد وفاته لما طلبوا من غيره 

Terjemahan: "Wa`alaikum salam, Tidak boleh mengucapkan ungkapan ini, dan ia ialah syirik dengan Allah, kerana al-madad ialah meminta tambahan pada rezeki dan kekuatan. Justeru, frasa “madad ya Rasulallah”, ia ialah memohon pertolongan dengan Nabi selepas kematiannya pada sesuatu yang dia tidak berkuasa ke atasnya, dan ia ialah berdoa kepada selain Allah, dan ini ialah syirik. Allah ta`ala berkata ditujukan kepada Nabi: «Katakan: Saya tidak memiliki untuk diri saya manfa`at dan tidak mudharat, melainkan apa yang Allah kehendaki». Dan kerana sesungguhnya Nabi berkata: «Doa itu ialah `ibadah». Maka sesiapa yang berdoa kepada selain Allah, maka sesungguhnya dia telah syirik, dan hendaklah dia bertaubat kepada Allah daripada kesalahan itu. 

 Dan tidak didapati sedikit pun daripada salafus soleh yang menyebut ungkapan ini, dan tidak juga yang telah meminta apa-apa daripada Nabi selepas kematiannya, hinggakan sesungguhnya sahabat, apabila hujan berkurangan dan mereka perlu untuk meminta hujan pada zaman `Umar, mereka telah meminta kepada Al-`Abbas untuk bersolat istisqa’ bersama mereka, dan agar dia berdoa untuk mereka. Kalaulah boleh meminta kepada Nabi selepas kematiannya, mereka tentu tidak akan meminta kepada orang lain" ==== 

3- Fatwa al-Syaikh al-Muhaddith Dr. Hamzah al-Malibari (Malabar, India/Pakistan), jawab beliau:

 المدد من الله تعالى فقط يا شيخ! 
Terjemahan: "al-Madad hanyalah daripada Allah Ta'ala sahaja, wahai Syaikh!" ==== 

4- Fatwa al-Syaikh al-Muhaddith Abul Harith Dr. Maher Yasin al-Fahl (Al-Anbar, Iraq), jawab beliau:

 وعليكم السلام ورحمة الله، لا يجوز ابدا 

Terjemahan: "Wa`alaikum salam, selamanya tidak boleh" ==== 

5- Fatwa al-Syaikh al-Muhaddith Dr. 'Umar al-Muqbil (Al-Qassim, Arab Saudi), jawab beliau:

 لا يجوز ذلك، بل هذا من صور الشرك الأكبر، فالنبي ﷺ ميت، ودعاء الميت شرك، ولو كان الرسول يدعى من دون الله عند الشدائد لدعاه الصحابة عند الشدائد التي مرت بهم، وهي كثيرة. والله أمرنا ألا ندعو إلا هو سبحانه، والنبي نفسه ما جاء إلا ليعلق الناس بالله وحده فقط. ولو كان هذا الفعل جائزا لأرشد الناس إليه أن يفعلوه بعد موته، خاصة وهم في المدينة، وبجانب القبر الشريف. والله المستعان على هذا الجهل العظيم. 

Terjemahan: "Tidak boleh. Bahkan ini adalah satu bentuk daripada syirik besar, kerana Nabi sudah mati, dan doa kepada orang yang mati adalah syirik. Kalaulah Rasul boleh diseru – selain daripada Allah – ketika kesusahan, pasti para sahabat akan menyerunya ketika kesusahan yang banyak berlaku kepada mereka. Dan Allah telah menyuruh kita agar tidak menyeru melainkan kepada-Nya – Maha Suci Dia –, dan Nabi sendiri tidak datang melainkan untuk menghubungkan manusia dengan Allah semata-mata sahaja. Kalaulah perbuatan (menyeru Nabi) ini boleh, pasti Nabi akan menyampaikan kepada manusia agar melakukannya selepas kematiannya, khususnya kepada mereka di Madinah, dan yang berada di sekitar kuburnya yang mulia. Dan Allahlah tempat meminta pertolongan atas kejahilan yang besar ini" ==== 

6- Fatwa al-Syaikh al-Muhaddith Dr. Ibrahim al-Laahim (Al-Qassim, Arab Saudi), jawab beliau:

 لا يجوز ذلك، هو من دعاء الأموات، ولكن من نشأ على هذا وظنه جائزا، أو أفتاه بذلك علماؤه فيعذر بهذا. 

Terjemahan: "Tidak boleh berbuat sedemikian, kerana ia adalah perbuatan memohon kepada orang-orang mati. Akan tetapi jika seseorang melakukannya dan dia sangka ia boleh (kerana jahil) atau difatwakan kepadanya (oleh mufti jahil) bahawa ia boleh, kemudian dia pun melakukannya atas kejahilan, maka dalam kes ini dia dimaafkan" 

Biografi Ulama-ulama di atas boleh rujuk disini : Biografi Ulama

7. Fatwa al-Syaikh Thariq Iwadullah Muhammad

Maka jawab Syaikhuna Thariq:
"Tidak boleh. Madad hanyalah daripada Allah"

Mendengar jawapan tersebut, maka saya bertanya lagi:
"Adakah ia termasuk syirik besar"

Maka jawab Syaikhuna Thariq:

"Ya, ianya syirik besar".

Perincian klik sini

8. Fatwa al-Syaikh Mustafa al-'Adawi

Pada malam Isnin, 1 Disember 2014, saya telah bertanya kepada guru saya yang mulia Syaikhuna al-Muhaddith Mustafa al-'Adawi di bilik tetamu masjid, seusai kelas tafsir beliau di masjid al-Tauhid, Ramsis, Mesir, soal saya kepada Syaikhuna:

"Guru kami yang mulia, adakah boleh bagi seorang muslim menyebut "madad ya Rasulallah?", jika boleh apakah dalilnya? serta wujudkah para Salafus soleh yang melakukannya?"

Mendengar soalan saya ini, Syaikhuna Mustafa al-'Adawi tersentap dan hanya Allah SWT kemudian saya dan mereka yang berada dalam bilik kecil khas tetamu masjid saja yang tahu betapa berubahnya raut wajah Syaikhuna apabila mendengar soalan ini, Syaikhuna menjawab dengan kuat kepada saya hingga didengari "small circle" dalam bilik tetamu itu, kata Syaikhuna:

"Tidak boleh sama sekali!! ianya syirik"

Saya menjawab dengan bertanya lagi, soal saya:

"ya, dan adakah ia syirik kecil atau besar?"

Maka jawab Syaikhuna Mustafa al-'Adawi:

"Syirik besar"
Perincian Klik Sini

Kredit Dr Fathi al-Sakandary

Rabu, 19 November 2014

Siapakah Ahbash?

Tiada ulasan :
Artikel ini, adalah hasil kumpulan-kumpulan maklumat yang disusun oleh saya, dalam menyiapkan projek/kertas kerja bagi subjek Kajian Ajaran Sesat oleh Ustaz Dr Engku Zaki.

Siapakah Ahbash?
Sebelum berbicara panjang mengenai ahbash, eloklah kita berkenal-kenalan dahulu, siapakah golongan ahbash.

Dalam artikel yang dikeluarkan oleh JAKIM bertarikh 13 Febuari 2014, ada menyebut mengenai 'Siapakah Golongan Ahbash?'.
Al-Ahbash merupakan kumpulan yang dipelopori oleh Sheikh Abdullah ibn Muhammad bin Yusuf al-Harari yang berasal dari Habshah. Mereka mula bergerak aktif di Lubnan pada pertengahan tahun 80-an melalui pertubuhan kebajikan yang bernama Jam’iyyah al-Mashari’ al-Khayriyyah al-Islamiyyah.
Kumpulan yang bergerak sebagai badan kebajikan ini berkencenderungan tasauf dan berkembang dengan pesat hingga mempunyai cawangan di banyak negara di dunia. Istilah Ahbash berkait dengan istilah Habshah kerana ia berkait dengan Negara asal pendirinya Sheikh Abdullah iaitu dari Habshah. Beliau lahir sekitar 1910 lahir di Hirara berdekatan Somalia, pernah menjadi Mufti di Oromo. Pada 1947, beliau pergi ke Hijaz setelah dibuang dari Ethiopia, kemudiannya ke Jurusalem dan Damsyik dan akhirnya menetap di Beirut dan menjadi pensyarah di al-Azhar cawangan Lubnan. Kemudiannya beliau mengambil alih pertubuhan Jam’iyyah al-Mashari’ al-Khayriyyah al-Islamiyyah dari Sheikh Muhyiddin al-‘Ajuz.
Sejak itu pertubuhan ini berkembang dan dilebih dikenali sebagai al-Ahbash. Golongan Ahbash amat berpengaruh di Lubnan dan berperanan besar dalam politik Lubnan. Pendekatan politik mereka ialah menekankan keberadaan bersama dengan penganut agama lain terutama golongan Kristian di Lubnan. Mereka juga mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Syria yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam politik Lubnan.
(Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/blog/siapakah-golongan-al-ahbash )
Sepanjang pembacaan saya mengenai golongan ahbash, ahbash ialah satu kelompok yang suka mengkafirkan ulama Islam, terutama Shaykh al-Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Selain itu, ahbash juga menyesatkan orang-orang yang tidak sependapat dengan mereka. Di Malaysia, terdapat segelintir manusia yang terpengaruh dengan virus ahbash, malah mendapat jawatan tinggi dalam kementerian Dalam Negeri. Mereka menyebarkan dakyah mereka yang agak keras dan merbahaya, serta mengakibatkan perpecahan umat Islam di Malaysia.
Namun begitu, kebanyakkan ulama zaman kontemporari telah menjawab isu golongan ahbash ini. Antaranya Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr Wahbah al-Zuhaili, Dr. Said Ramadhan al-Bouti, Syaykh Abdul Aziz bin Baz, Lembaga Fatwa Mesir, Lembaga Fatwa Saudi, Syaykh Tajuddin al-Hilaly dan ramai lagi.

InsyaAllah, saya akan kemukakan beberapa pandangan ulama zaman kini mengenai golongan ahbash ini.




Syaykh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut dalam kitabnya Fatawa al-Mu'assirah :
Semenjak beberapa tahun yang lalu aku (Dr. Yusuf al-Qaradhawi) ada mendengar tentang satu jamaah yang zahir di Lubnan, ia menimbulkan masaalah kepada umat Islam di Lubnan dengan pandapat-pendapat yang pelik dan menyeleweng dan pandangan-pandangan yang merbahaya dalam persoalan aqidah, fiqh dan akhlak. Sehingga mereka menggugurkan kewajipan zakat bagi individu yang memiliki sampinan wang yang banyak dari matawang kertas yang digunakan pada hari ini, mereka juga mengharuskan wang tersebut berurusan dengan riba, mereka mendakwa matawang kertas bukanlah matawang yang syar'ie yakni bukan Emas dan Perak. Mereka mengharuskan orang yang memakan bawang atau meletakkannya di dalam poket tidak menunaikan solat Jumaat, dan mereka mengharuskan percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas.

Dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dari kalangan umat Islam hari ini atau yang dahulu. Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti Mujaddid Tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, sepertimana mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-'Allamah al-Syeikh 'Abdul 'Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya. Aku (al-Qaradhawi) telah menyebut di dalam buku-ku (al-Sofwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud wa al-Tatorruf) bahawa terjatuh ke dalam lubang menghukum kafir adalah tanda-tanda yang paling serius terhadap pemikiran ekstrim dan melampau dalam beragama.

Golongan Ahbash yang pelampau dan penyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abi al-Hasan al-'Asy'ariy di dalam aqidah, dan mazhab al-Imam al-Syefie di dalam Fiqh, dan mengikut tarikat al-Rifa'iyyah di dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka mereka amat jauh dari manhaj para imam ini kesemuanya samaada dalam pemikiran, adab dan akhlak.

Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lubnan, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah mereka dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habashah berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belakkan kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini. (Fatawa al-Muasarah. Cet ke-3 (2003), Dar al-Qalam, Jld 3, ms: 685-686)

Dr. Al-Bouti pula, apabila ditanyakan mengenai fatwa Ahbash bahawa haram bermakmumkan imam wahhabi, Dr al-Bouti jawab :
"Solat dibelakang Wahabi tidak HARAM dan mereka yang mengikutnya makmum dalam solat sah. Dan tidak boleh seseorang mengkafirkan muslim yang mana kita tidak mengetahui ketika matinya adakah ia mati Kafir. Dan tidak seorang pun yang tahu Adakah Imam Ibn Taimiyyah ketika matinya telah murtad dan mati Kafir.
Berkenaan kumpulan yang ditanya kepada saya ini (AHBASH), mereka ini mengkafirkan ramai orang Islam. Mereka mengkafirkan Mutawalli Sya'rawi dan al-Qaradhawi juga, mengkafirkan aku sendiri (al-Bouti)".
Selain itu, al-Bouti juga ditanyakan budaya takfir oleh golongan ahbash ini, jawab beliau :
Mereka ini tidak hanya mengkafirkan aku, bahkan yang aku tahu mereka mengkafirkan orang yang jauh lebih baik dariku, seperti Mutawwali Sya'rawi, Ibn Taimiyyah, dan Syeikh al Qaradhawi , dan ramai lagi....."
(Sumber asal :
http://www.bouti.net/fatawas.php?lvl=2&PHPSESSID=56e6ce3889aaea9fa90a49d08a8a9f64&id=459 ) Walaubagaimanapun, pautan website al-Bouti tidak boleh diakses selepas beliau menginggal dunia.



Dr Wahbah al-Zuhaili pula ketika melawat Malaysia, ditanya mengenai golongan Ahbash, beliau menegaskan bahawa golongan Ahbash adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan. Saksikan video dibawah :



Akhir sekali, Syaykh Abdul Aziz bin Baz, mantan mufti Saudi beliau mengatakan :
Kumpulan al-Ahbash merupakan kumpulan sesat, ketua mereka Abdullah al-Habasyi terkenal dengan penyelewengan dan kesesatannya. Maka wajib memboikot dan menginkari aqidahnya yang batil. Dan memberi peringatan kepada masyarakat supaya menjauhinya dan tidak mendengar serta menerima apa yang mereka katakan.
(No ruj. Fatwa: 1/2392. Bertarikh: 30/10/1406 hijrah)



Akhir kalam, di Malaysia, usaha memperkembangkan ajaran ahbash ini makin pesat, iaitu mereka menanam benci kepada tokoh tajdid Syaykh Muhammad bin Abdul Wahhab al-Tamimi malah melemparkan pelbagai tuduhan buruk kepadanya serta menggelarkan orang yang tidak bersependapat dengan mereka sebagai 'Wahhabi'. Saya rasakan ajaran ahbash ini mirip dan akrab dengan golongan Syiah, Hassan al-Saqqaf yang mana beliau ini telah dikenali ramai ulama sebagai penganut syiah berbaju sunni, dan berfahaman ideologi neo-muktazilah dan penyokong Ahbash, di Malaysia, ada segelintir yang tidak segan mengaku telah berguru dengan Hassan al-Saqqaf telah menulis banyak artikel di blognya, dan telah dijawab dan diboongkarkan jenayah ilmiahnya oleh Ustaz Aizam Mas'od, Panel Akidah JAKIM.  Jika para pembaca rajin membaca, silalah rujuk blog ustaz Aizam, nilai sendiri. Akhir sekali, saya memohon Taufiq dan Hidayah Allah, semoga tulisan saya ini sedikit memberi manfaat


Rujukan.
1. http://www.e-fatwa.gov.my/blog/siapakah-golongan-al-ahbash
2. Fatawa al-Muasarah. Cet ke-3 (2003), Dar al-Qalam, Jld 3, ms: 685-686
3. http://www.bouti.net/fatawas.php?lvl=2&PHPSESSID=56e6ce3889aaea9fa90a49d08a8a9f64
4. Video : http://www.youtube.com/watch?v=BR_TuQ1IbxQ
5. Fatawa Syaykh Ibn Baz, No ruj. Fatwa: 1/2392. Bertarikh: 30/10/1406 hijrah

Info tambahan : Sekiranya ingin mencari rujukan tambahan, boleh rujuk rujukan yang disenaraikan dibawah :

1. Ensiklopedia Ahli Sunnah dalam menjawab tuduhan firqah Ahbash (Bahasa Arab) : klik Sini
2. Bank Ahbash : http://bankahbash.blogspot.com/
3. Ahbash Deviated : http://ahbash-deviated.blogspot.com/
4. Bank-Ahbash : http://bank-ahbash.blogspot.com/

Khamis, 16 Oktober 2014

Catatan Ulama mazhab Syafie Mengenai Menutup Muka bagi Wanita

Tiada ulasan :
Alhamdulillah, segala bentuk puji-pujian hanyalah untuk Sang Pencipta, Tuhan yang telah mengatur dengan cantiknya alam ini, seterusnya menurunkan syariat-syariatnya yang sesuai sebagai panduan hamba-hambanya untuk taat akan perintahnya, dan terus menunjukkan kebesarannya agar hambanya menyedari hakikat mereka hanyalah hamba melalui perantaaran hamba-Nya yang mulia, penutup segala nabi.

Untuk kesekian kalinya, saya ingin mengemukakan atau membuat pendedahan buat semua yang singgah di blog ini, akan catatan-catatan para ulama bermazhab syafie dalam hal menutup muka bagi wanita. Catatan ini telah dialih bahasakan oleh sahabat saya merangkap guru saya, Ustaz Wan Muhammad Izzat bin Wan Anas a.k.a Ibn Anas al-Kutawi hafizahullah.

Tidak keterlaluan sekiranya saya katakan pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafie bahawa anjuran menutup muka bagi wanita adalah wajib, Namun, tidaklah saya menafikan bahawa ianya adalah perkara khilafiyyah. 

InsyaAllah, saya akan cuba senaraikan kalam ulama dalam hal ini, beserta biografi ringkas setiap ulama yang saya nukilkan. 


1. Imam al-Juwayni :
“… Sepakat kaum Muslimin melarang wanita daripada bertabarruj, mendedahkan muka, dan meninggalkan memakai niqab.”

[Al-Juwayni (1428 H); Nihayah al-Matlab fi Nihayah al-Madhhab; ’Abd al-’Azim Mahmud al-Dib (ed); Jeddah: Dar al-Minhaj; jil. 12, hal. 31]

Biografi Ringkas
Imam al-Juwayni (478H) atau juga dikenali sebagai Imam al-Haramain, merupakan Imam besar mazhab al-Syafie, beliau merupakan guru kepada Imam al-Ghazali. Bahkan, sekiranya disebut 'Imam' dalam kitab-kitab mazhab al-Syafie, maka beliaulah yang dimaksudkan.
2. Imam al-Ghazali :
“.... Oleh itu, kami mengatakan, kata-katanya (perogol) kepada wanita (yang dirogolnya) dalam keadaan tersebut “jangan dedahkan muka kamu” (sama ada) wajib, harus, atau haram. Sekiranya kamu mengatakan wajib, inilah yang dikehendaki kerana mendedahkan itu maksiat dan mencegah maksiat itu benar...”
[Ihya' 'Ulum al-Din (1428 H); Kaherah: Dar al-Sha’b; jil. 7, hal. 1199]

Nota: 
Kata-kata ini disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam bab amar makruf nahi mungkar ketika mengemukakan alasan mengapa orang fasiq masih boleh melakukan amar makruf nahi mungkar.

Biografi Ringkas :
Imam al-Ghazali (505H) ialah seorang pemuka mazhab Shafi'i. Kitab al-Wasit, al-Basit, dan al-Wajiz adalah kitab penting di sisi Shafi'iyyah.
3. Imam al-Nawawi :
"Soalan: Adakah harus bagi seorang Muslimah mendedahkan muka dan seumpamanya daripada tubuh badannya kepada wanita Yahudi, Nasrani, dan wanita-wanita kafir yang lain? Adakah terdapat khilaf mengenainya di dalam mazhab Imam al-Shafi’i…?

Jawapan: tidak boleh ia berbuat begitu... Ini adalah pendapat yang sahih di dalam mazhab al-Shafi’i RA."
[Fatawa al-Imam al-Nawawi al-Musammah bi-al-Masa'il al-Mantsurah (1417 H); Muhammad al-Hajjar (ed); Beirut: Dar al-Basha'ir al-Islamiyyah; hal. 180]

Nota:
Imam al-Nawawi (676H) adalah imam besar dalam mazhab Shafi'i. 

Telah menjadi kaedah di sisi mutaakhkhirin Shafi'iyyah, pendapat muktamad di sisi mazhab adalah pendapat Imam al-Rafi'i dan al-Nawawi. Apabila bercanggah, pendapat Imam al-Nawawi didahulukan.

Fatwa di atas walaupun mengenai hukum mendedahkan muka dan aurat kepada wanita bukan Islam secara tidak langsung menunjukkan hukum mendedahkan muka dan aurat kepada lelaki ajnabi berdasarkan kaedah qiyas awla.
4. Imam Ibnu al-Naqib (769H)
“Diharamkan ke atasnya (wanita) mendedahkan sesuatu pun daripada tubuh badannya kepada murahiq (kanak-kanak lelaki yang hamper baligh) atau kepada perempuan kafir. 

Oleh itu, wanita yang berada di dalam bilik mandi awam hendaklah menghindari perbuatan tersebut."
[‘Umdah al-Salik wa-‘Uddah al-Nasik (1982 H); ‘Abd Allah b. Ibrahim al-Ansari (ed); Qatar: al-Shu’un al-Diniyyah bi-Dawlah Qatar; hal. 199]

Nota:
Kitab 'Umdah al-Salik ini antara matan yang masyhur dalam mazhab Shafi'i. Pendapat yang disebutkan di dalam kitab ini adalah pendapat yang sahih di dalam mazhab Shafi'i seperti yang dijelaskan dalam mukadimah kitab berkenaan. [Ibid; hal. 7]

Dalam kenyataan di atas, walaupun yang disebutkan adalah kanak-kanak lelaki yang hampir baligh dan bukan Islam, lelaki ajnabi dewasa dimasukkan bersama berdasarkan qiyas awla.
5. Syaikh al-Islam Zakariya al-Ansari
“Kewajipan menutupnya (muka dan tapak tangan) semasa hidup bukanlah kerana muka dan tapak tangan itu aurat tetapi kerana melihat kepadanya biasanya membawa kepada fitnah.”
[Al-Ghurar al-Bahiyyah fi Sharḥ Manzumah al-Bahjah al-Wardiyyah (1418 H); Muhammad 'Abd al-Qadir 'Ata (ed); Beirut: Dār al-Kutub al-’Ilmiyyah; jil. 3, hal. 243]

Nota:
Imam Zakariyya al-Ansari (926H) termasuk ulama mutaakhkhirin Shafi’iyyah yang masyhur. Apabila disebut Shaykh al-Islam dalam kitab-kitab fikah Shafi’i, yang dimaksudkan adalah beliau.

Nas di atas menunjukkan bahawa masalah muka aurat atau tidak adalah berbeza dengan masalah hukum menutup muka. Imam Zakariyya sendiri mengatakan muka tidak aurat tetapi beliau tetap mewajibkan wanita menutup muka.
6. Sheikh Muhammad al-Fatani (1333H)
"Adapun auratnya (perempuan) di luar sembahyang maka sekalian badannya pada lelaki yang ajnabi."
[Matla’ al-Badrayn wa-Majma’ al-Bahrayn (1405 H); Pattani: Maṭba’ah Bin Ḥalabi; hal. 29]

Nota: 
Dipastikan bahawa 'aurat' di sini ialah aurat yang wajib ditutup ialah berdasarkan dalalah al-aqran selain ibarat yang digunakan adalah 'pada lelaki' bukan 'pada pandangan lelaki'.

7. Sheikh al-Ghamrawi (1337H)
“[Haram baginya] iaitu wanita [mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya] walaupun muka dan kedua-dua belah tapak tangan [kepada murahiq atau wanita kafir] maka hendaklah ia menutup diri sebagaimana ia menutup diri daripada ajnabi.”
[Anwar al-Masalik Sharh ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik (t.t); Kaherah: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah; hal. 213]

Nota:
Kitab Anwar al-Masalik ini antara kitab yang dijadikan matan syarahan dalam kuliah-kuliah pengajian umum mazhab Shafi'i.

8. Imam al-Mahalli (864H)
“[Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu, serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar)] … yakni hendaklah mereka mengenakan/melabuhkan sebahagian daripadanya (jilbab) pada muka mereka ketika keluar kecuali sebelah mata (dibiarkan terdedah).”
[Tafsir al-Jalalayn dicetak bersama al-Quran (t.t); Beirut: Dar Ibn Katsir; hal. 426; terjemahan ayat al-Quran merujuk kepada Abdullah Basmeih (1421 H); Tafsir Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Qur'an; Kuala Lumpur: Darul Fikir; hal. 1119 ]

Nota:
Nas di atas menunjukkan sebahagian ulama tafsir memang memahami ayat 59, surah al-Ahzab sebagai mewajibkan wanita merdeka menutup muka.

Apa yang disebutkan "kecuali sebelah mata" adalah tidak tepat kerana berdasarkan athar Ibnu 'Abbas RA yang dipertikaikan.

9. Sheikh Arshad al-Banjari (1227H)
“Dan aurat perempuan yang merdeheka yang balighah dan yang tiada balighah di dalam sembahyangnya dan di hadapan laki-laki yang bukan mahramnya dan jikalau di luar sembahyang sekalipun iaitu sekalian badannya melainkan mukanya dan dua tapak tangannya zahir dan batin hingga pergelangan…

Maka, diketahui daripada yang demikian itu bahawasanya wajib menutup keduanya di luar sembahgnya di hadapan laki-laki yang bukan mahramnya itu kerana memeliharakan daripada fitnah jua bukan kerana keadaannya aurat.”
[Sabil al-Muhtadin li-al-Tafaqquh fi Amr al-Din (t.t); Pattani: Matba’ah Ibn Halabi; jil. 1, hal. 183]

Nota:
Syeikh Arshad al-Banjari adalah salah seorang tokoh ulama Nusantara yang bermazhab Shafi'i.

Alhamdulillah, ini sahaja buat masa ini yang saya mampu kemukakan hasil kerja keras Ibn Anas al-Kutawi menyusun kalam ulama di Page 'Saya Bersama Niqab' (jemputlah like).

Peringatan buat semua, disana terdapat juga Ulama-ulama Mazhab Shafi'i yang Secara Jelas Tidak Mewajibkan Menutup Muka |

1. Imam al-Hisni (829 H)
2. Imam Ibnu Hajar al-Haytami (973 H)
3. Syeikh Muhammad al-Jurdani (1331 H)
4. Syeikh al-Tarmasi (1338 H)
5. Syeikh Muhammad al-Zuhayli.

Walau bagaimanapun, mereka semua - selain Syeikh Muhammad al-Zuhayli - bersepakat bahawa wajib bagi wanita menutup muka apabila diyakini ada lelaki ajnabi sedang merenung mukanya dan sebahagian mereka menambah, jika wanita itu sengaja ingin memperlihatkan mukanya kepada ajnabi.

Untuk info lebih detail mengenai kalam ulama diatas, boleh dilihat senarai bawah ini, disana disediakan kalam ulama beserta gambar screenshot dari kitab asli. 

Menutup Muka: Senarai Catatan Ulama Mazhab Shafi'i

1. Imam al-Juwayni : https://www.facebook.com/sayabersamaniqab/photos/a.829797160394250.1073741828.829791813728118/829795757061057/?type=1

2. Imam al-Nawawi : https://www.facebook.com/sayabersamaniqab/photos/a.829797160394250.1073741828.829791813728118/829874510386515/?type=1

3. Imam Ibnu al-Naqib : https://www.facebook.com/sayabersamaniqab/photos/a.829797160394250.1073741828.829791813728118/829883487052284/?type=1

4. Imam al-Ghazali : https://www.facebook.com/sayabersamaniqab/photos/a.829797160394250.1073741828.829791813728118/830071377033495/?type=1

5. Shaykh al-Islam Zakariya al-Ansari : https://www.facebook.com/sayabersamaniqab/photos/a.829797160394250.1073741828.829791813728118/830263283680971/?type=1

6. Sheikh Muhammad al-Fatani : https://www.facebook.com/sayabersamaniqab/photos/a.829797160394250.1073741828.829791813728118/830898486950784/?type=1

7. Imam al-Ghamrawi : https://www.facebook.com/sayabersamaniqab/photos/a.829797160394250.1073741828.829791813728118/831278300246136/?type=1

8. Imam al-Mahalli : https://www.facebook.com/sayabersamaniqab/photos/a.829797160394250.1073741828.829791813728118/833847593322540/?type=1

9. Sheikh Arshad al-Banjari : https://www.facebook.com/sayabersamaniqab/photos/a.829797160394250.1073741828.829791813728118/834512763256023/?type=1

Tujuan post ini diketengahkan di blog ini bukanlah untuk menimbulkan perpecahan mahupun kebencian, terserah kepada kalian yang membacanya untuk menafsirkan apa sekalipun, apa pun, semoga Allah memberi taufiq untuk memandu kita ke jalan yang lebih diredhai-Nya. Sesungguhnya tiadalah satupun bernilai hidup didunia ini melainkan mengharapkan redha Tuhan. Barakallahufikum

Rabu, 15 Oktober 2014

Biarlah Aku Mengembara

Tiada ulasan :
Kredit : syafiqahrahmat.blogspot.com

Biarkan aku mengembara..
Pengembaraan berseorang, memang tidak sepi dengan cabaran, kesedihan, keperitan.
Mengembara itu sifatnya asing, semisal seorang pelajar baru yang baru ditawarkan masuk universiti,
Semisal keluarga yang baru pindah ke rumah baru. Seasing orang yang tiada rumah untuk bertedung, 
bergelandangan di kaki-kaki lima.

Aku dicemuh, dihina, diejek, dipandang dengan pandangan yang tiada nilai dimata masyarakat.
Kerana aku ialah pengembara, dan aku hanya menumpang di bumi Tuhan.
Tiada seorang pon yang peduli, tiada seorang pon yang mendengar rintihan ini, tiada seorang pon yang memahami.

Dahulu, aku tidak sedar akan hakikat ini, bahawa aku seorang pengembara.
Lalu aku alpa dengan dunia yang penuh penipuan ini. Aku seorang yang jahil yang suka berfoya-foya.

Bergelumang dengan dosa noda godaan Iblis. Lalu aku ditakdirkan menjadi tetamu ar-Rahman. 
Aku berdoa sesungguhnya, aku menangis di hadapan Kaabah, agar aku kembali kepada fitrah.

Ternyata, Rahmat Tuhan itu maha luas, aku rasakan hidayah Allah itu mahal, tiada yang bernilai untuk aku jual hidayah ini dengan sesuatupun. Aku mengerah keringat untuk mempertahankannya. Bekerja keras untuk berusaha ke arah yang lebih baik, namun begitu, aku seorang manusia. 

Yang kadang-kadang terbabas jua dek kerana hasutan itu terlalu halus. Aku bukanlah seorang nabi yang bebas dari segala dosa. Disini, aku punya teman untuk bergelak tawa tatkala aku bergembira. Namun, segalanya hilang tatkala aku dirudum kegundahan.

Dikala aku sedar bahawa hakikat dunia ini hanyalah seorang pengembara, aku berusaha memperbaiki diri. Aku mula mencari-cari pembimbing untuk membimbing aku ke jalan yang lurus. Aku mula berjinak-jinak dengan ilmu, kerana aku sedar, seorang pengembara di lautan sahara tidak pernah puas dengan air, kerana kerongkong selalu kering. Manusia itu perlukan ilmu, sebagaimana pengembara memerlukan air untuk meneruskan perjalanan. Hanya dengan cara ini, aku dapat mengatasi liku-liku hidup.

Kawan itu musuh, dan begitu sebaliknya. Manusia yang pernah aku letakkan sepenuh kepercayaan, kini berubah menjadi orang yang paling kejam menikam aku dari belakang. Tujuan aku tidak lain, hanyalah untuk menyelamatkan semua teman-temanku dari bakaran api di hari yang tidak lagi berguna penyesalan. 

Aku sangkakan teman dapat menjadi tulang belakang dalam proses pengembaraan ini, namun aku sedar aku hanyalah seorang pengembara yang tidak sunyi dari ujian. Ujian sebesar ini, sedangkan air sungai yang tenang itu banyak buaya, hutan yang menghijau itu banyak makhluk buas. Inikan seorang teman berubah menjadi musuh ketat.

Aku tidak mengejar pujian ramai, keran aku punya prinsip. Dan sering kali prinsipku ini menjadi bahan mainan orang ramai. Aku dilabel jumud dan taasub, kerana berpegang dengan prinsip, aku tidak pernah mengagumi mana-mana sosok manusia didunia ini melainkan ikon pengembara yang paling tabah, Muhammad bin Abdullah al-Qurasyi. Aku hairan, mengapa aku dilabel sebegitu hebat. Taasub? Dengan siapa aku taasub, sedang tiada individu yang aku kagumi melainkan Muhammad ini?

Hidup ini penuh dengan keajaiban, cinta yang disemai lama, berubah menjadi sebuah kebencian dan dendam. 

Menyedari hakikat bahawa pengembara itu sifatnya asing, aku teringat dengan sabda Muhammad : 

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan datang suatu hari juga dalam keadaan asing, maka beruntunglah bagi orang yang asing.

Aku nukilkan puisi ini, atas catatan seorang pengembara, mungkin pembacanya merasakan ini adalah puisi paling hodoh di dunia. Kerana aku seorang pengembara, yang sering diejek.

Aku tidak peduli semua itu, namun yang lebih mengundang kegundahan di hati ini, bila Tuhan tidak menerima aku sebagai tetamu-Nya di syurga nanti.

Hasil dari pemerhatian aku dan juga tunjuk ajar pembimbingku, aku mengenal perkara furu' dan khilafiyyah. Aku juga mengenal yang mana rajih dan marjuh dari pembacaan tulisan-tulisan para sarjana Islam yang tidak pernah lelah menyumbangkan sesuatu untuk ummat ini.

Namun, manusia itu memandang perkara khilaf itu sebagai satu alternatif untuk memenuhi kehendak hawa nafsu. Sekiranya tidak, aku pun lebih memilih hidup dengan muzik, kerana dulu aku adalah seorang tegar muzik hiphop. Namun, aku memilih pendapat yang ada roh sebagai hamba, hiburan yang paling indah adalah al-Quran. Sabda Muhammad itu jelas, bahawa muzik hanya membawa kepada kealpaan. 

Aku juga memerangi tabarruj, betapa ramai ustazah-ustazah diluar sana berbicara mengenai cinta, menyertai NGO Islam, berusrah tapi tewas bertabarruj. Kata-kata indah tetapi disaluti dengan noda syaitan. Benarlah bisikan Iblis itu halus. Seandainya pandangan para ulama ini ingin aku sesuaikan dengan nafsuku, nescaya aku lebih memilih untuk tidak berniqab bagi wanita, supaya aku dapat melihat keindahan wajah-wajah wanita. Jelas, ini hanyalah nafsu. Aku memilih untuk berniqab bagi wanita.

Aku tidak penah menganggap khilaf dalam perkara furu itu suatu malapetaka, tetapi aku menguruskan kekhilafan ini dengan panduan para ulama salaf al-Soleh, kerana mereka hidup lebih dahulu dari aku, dan merekalah lebih memahami al-Quran dan al-Hadith.

Ketahuilah para pemuda-pemudi sekalian, tiadalah gunanya engkau mengembara dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan lain-lain tetapi disini engkau hanya berfoya-foya, mencari-cari kesalahan orang yang mahu berubah, hidup penuh dengan senang-senang. bergelak tawa dengan kaum bukan sejenis, menghabiskan waktu dengan muzik, wanita bebas keluar menonjolkan diri dikhalayak. Aku menegah kalian, bukan kerana aku sempurna dalam segala hal, aku menegur kerana kasih dan sayangku terhadap kalian.

Namun, siapalah aku untuk menegur kalian. 




Pengembara yang hina.

Jumaat, 2 Mei 2014

Doa Bulan Rejab "Berkatilah kami di Bulan Rejab dan Syaaban..."

Tiada ulasan :

Bulan Rejab adalah antara bulan-bulan haram. Kita sudah memasuki bulan rejab. Maka mari kita lihat apa keistimewaan bulan haram.

Allah SWT telah berfirman :

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi antaranya ada 4 bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam (4bulan haram)itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Taubah : 36)

Telah tersebar sejak sekian lama mengenai doa bulan rejab yang sangat masyhur yang berbunyi :

اللَّهُمَّ بارِكْ لَنا في رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنا رَمَضَانَ

Sebahagian kawan saya bertanya mengenai doa tersebut, adakah ia thabit dari Rasulullah?

Sedikit takhrij secara ringkas saya sertakan :

Doa ini dikeluarkan oleh

1. Ahmad dalam Musnadnya
2. at-Tabrani dalam mu'jam Ausath
3. Baihaqi dalam Syu'bul Iman 
4. Abu Nuaim dalam Hilyat al-Auliya
Hukum Hadith

Ia dinilai Dhoif oleh beberapa ulama seperti Imam al-Nawawi (Lihat al-Adzkar), Imam al-Baihaqi, at-Tabrani, Ibn Rajab dan lain-lain.

Sebahagian ulama menilai bahawa hadith ini Munkar. Antaranya Imam Abu Hatim al-Razi (Lihat Tahzib Kamal) ketika memberi komentar mengenai rijal bernama Ziyad Bin Abdullah an-Numairi.

Adakah boleh beramal dengan doa ini?

Jawabnya : Ia harus diamalkan kerana ia adalah doa, tidak berkaitan dengan hukum-hakam agama dan tidak bercanggah dengan syariat. Berdoalah dengan apa lafaz sekalipun, makna apa sekalipun selagi tidak melanggar batas agama dan tidak memohon kepada keburukan, maka ia dibolehkan. Asalkan tidak menyandarkan doa ini thabit dari Rasulullah Sallallhualaihiwasallam. Wallahu'alam

Untuk lebih detail, sila rujuk blog Ustaz Fathi Sakandary disini