Sepatah Kata Dari Admin

Berkata Admin BuduMasham:

"Sekiranya didapati artikel dan tulisan dalam blog ini menyalahi sunnah, maka tinggalkan blog ini, dan ikutilah sunnah. Apa yg baik, diambil, apa yg buruk, jangan segan-segan untuk menegur"

Followers

Tweet!

Like This Blog!

Rabu, 8 Mei 2013

Saya Cina Muslim, Apa Masalah Awak? [Sebuah Perkongsian]

Gambar Hiasan


"Babi!" kata itu keluar dari mulut seorang pelajar lelaki Tingkatan 2.
"Babi tak salah apa-apa..Babi binatang kejadian Allah juga," saya tegur dia dengan lembut. 
Dia memandang saya satu macam tapi tidak bersuara lagi.
"Mengapa orang Melayu suka marah orang dengan gelaran babi?" saya tanya pelajar-pelajar Melayu lain. "Itu ajaran Islamkah, menggelar manusia lain dengan nama binatang? Ibu bapa kamu kurang ajar kamu atau kamu sendiri yang seronok gelar orang macam itu?"
Mereka tiada jawapan. 
"Cikgu, jangan kata ibubapa saya kurang ajar!" jawab seorang pelajar yang kelihatan agak marah.
"Saya tak tuduh ibubapa kamu kurang ajar, saya tanya adakah kamu suka panggil orang lain itu 'babi sebab ibubapa kamu kurang meng-ajar kamu untuk guna bahasa yang lebih baik?"
Semua diam tak menjawab. Tapi saya dan mereka tahu, 'babi' itulah perkataan paling 'teruk' yang mereka tahu untuk memanggil orang yang dibenci.
Apa salah babi sehingga binatang yang Allah jadikan itu dianggap begitu hina oleh orang Melayu amnya? Begitu juga dengan anjing; menggelar seseorang itu babi dan anjing merupakan penghinaan paling teruk boleh diberikan pada orang lain.
Itukah ajaran Islam untuk gelar orang lain 'babi' atau 'anjing'? 
Tentu bukan, tapi mengapa ada orang Melayu Islam yang suka guna istilah itu bila marah orang? 

Saya dah lama tak baca akhbar bahasa Melayu. Bosan dengan pelbagai isu yang cuba diketengahkan. Lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan isu bangsa dan agama. 
Hello saudara seagamaku.
Tanahair kita dah berapa tahun merdeka? 5 tahun? 55 tahun?
Mengapakah masih ada orang yang menganggap semua orang bangsa Melayu = Islam= dapat masuk syurga, semua orang bangsa Cina dan India = kafir = masuk neraka?
Sudah berpuluh ribu rakyat Malaysia berketurunan Cina Muslim tapi masih ada yang beranggapan semua orang Cina itu kafir dan makan babi. Alangkah kasihannya dia itu sebab masih tak sedar perkembangan semasa!

Bila ada orang Islam Melayu yang menggelar dengan kesat seperti 'Cina babi, Cina bangsat', apakah perasaan saudara saudari sekiranya anda sememangnya berbangsa Cina seperti saya? Saya, begitu juga saudara Islam bukan berbangsa Melayu di Malaysia, tidak minta untuk dilahirkan dalam keluarga bukan Islam. Allah yang tentukan begitu, dan syukur alhamdulillah kami yang kini seagama dengan orang Melayu lain di bumi bertuah ini mendapat hidayahNya untuk memeluk Islam.

Tak sedarkah media massa dan sebilangan warganegara ini akan kewujudan kumpulan rakyat yang beragama Islam tetapi bukan berbangsa Melayu, dan berstatus bukan bumiputera? Kami golongan saudara baru yang tidak mahu me-melayukan diri kami dan mahu kekal sebagai orang India muslim, cina mslim, kadazan muslim, bidayuh muslim dan sebagainya. Kami bersyukur diberi hidayah olehNya dengan memeluk Islam sebagai agama kami. Tapi setiap kali ada pihak tertentu melaungkan, 'demi bangsa dan agama' saya geleng kepala. Bukan cemburu, oh bukan cemburu. Cuma saya tahu slogan itu bukan untuk diri saya dan saudara mualaf saya yang lain. Saya juga sedih sebab di zaman ini, masih wujud assabiyah di kalangan muslim di negara ini. Kasihan sebab itu juga yang cuba dihapuskan oleh Rasulullah saw.

Maka, bila ada pihak tertentu mendakwa orang Cina itu dan ini, saya terasa hati juga terutama bila saya tahu bukan semua dakwaan itu benar. Ingatlah, mahu atau tak mahu, segala perbuatan dan percakapan kita sebagai orang Islam akan dinilai oleh orang bukan Islam. Kita adalah cermin agama kita iaitu Islam. Jikalau kita berbahasa teruk, berkelakuan buruk, orang bukan sahaja akan kutuk diri dan keluarga kita, bahkan agama kita juga. Islam juga yang akan mendapat nama buruk. Maka dengan ini jugalah, alQuran mmberi garis panduan kepada umat Islam supaya kita tidak mengutuk agama lain dan cara sembahan mereka.

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]). 

Maaf sekiranya tulisan saya ini menyinggung mana-mana pihak tapi saya tidak boleh mendiamkan diri dan menganggap ini masalah politik semata-mata. Apabila ada pihak yang membuat 'general perception' bahawa orang Cina = makan babi [ tahukah ramai Cina adalah vegetarian?] = menyembah tokong [ ada Cina beragama kristian] = kaya [ jika semua Cina kaya, along takde bisnes] = kafir [ ramai kenalan saya di Selangior dan K.Lumpur adalah Cina Muslim] = tidak bersyukur sebab tinggal di Malaysia dan menolak parti politik tertentu, saya sebagai rakyat berbangsa Cina dan beragama Islam perlu membetulkan kesilapan itu. 

Apa Cina mahu? Apa India mahu? Apa Melayu mahu? Apa semua rakyat negara ini mahu? 
Kami semua mahukan keamanan. Kami inginkan kemakmuran yang boleh dikongsi bersama. Kami idamkan penghapusan korupsi sebab sejarah lama di tanah besar China mengajar kami bahawa korupsi di peringkat pentadbiran boleh menghancurkan negara. Kami mahu dilayan sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat, dan bukan disuruh 'balik Cina! Balik India!' hanya sebab menyuarakan pendapat yang tidak popular di kalangan bangsa tertentu. Kami tidak mahu dilayan seolah-olah tidak boleh berfikir sendiri dengan disuakan lambakan poster yang berat sebelah.Sebab itulah survival parti politik yang tertentu kini tenat sebab ditolak oleh mereka yang bencikan rasism. Marahkan orang Cina amnya bukannya jalan penyelesaian untuk krisis tertentu. Itu hanyalah 'excuse' yang dicipta untuk mengelak daripada mengakui kelemahan sendiri.Menuduh orang Cina amnya sebagai bangsa yang tidak tahu membalas budi hanyalah mencerminkan kecetekan mindanya.

Apa kena mengena hal ini dengan saya, seorang Cina Muslim?
Sudah tentu ada. Sebab saya masi berbangsa Cina walaupun kini saya menyembah Allah dengan arah kiblat yang sama dengan orang Melayu yang lahir Islam. Keistimewaannya, saya dapat menyelami perasaan dan sentimen bangsa saya lebih baik daripada mereka yang hanya melihat dari tepi, dan membuat kesimpulan yang tak tentu betul itu.

Ada yang tanya saya - adakah artikel itu pendapat orang Melayu umumnya? Orang Melayu semua fikir macam itukah, bila beri minta balas; bila tak undi pihak tertentu dituduh rasis? 
Hmmm, bukankah negara kita Malaysia ini asyik dijulang sebagai negara demokrasi? Rakyat bebas membuat pilihan dan mengundi siapa sahaja yang menjadi calon pilihanraya? Mengapa pula sekarang bila ada pihak yang kurang kerusi empuknya, dituduhnya pula hanya bangsa tertentu sahaja sebagai rasis? 

'Itukah ajaran Islam?' tanya seorang kawan bukan Islam. 'Bila pilihanraya nak diadakan, disuruh orang undi calon tertentu supaya selamat bangsa dan agama, siap dengan manifestonya tersendiri untuk hanya bangsa tertentu sahaja diberi 75% tempat di ipta. Itu bukan rasis kan? kan? kan? ' soalnya yang mahir berbahasa Melayu.

'Itukah ajaran Islam? Bila tamat pilihanraya, ada satu bangsa yang dijadikan kambing hitam sebab menolak parti tertentu. Siap dituduh rasis pula.' 
Saya hanya mampu memberi ayat-ayat tertentu dalam alQuran yang menyatakan perlu berlaku adil pada semua orang. Dakwah kepada keluarga dan rakan nonMuslim menjadi semakin mencabar apabila orang Islam sendiri menyulitkannya dengan tuduhan rasis begitu rupa.

Saya benci dan menolak rasism. Saya cintakan keadilan.
Saya ada anak murid pelbagai bangsa dan agama - Melayu, Cina, India, Chindian,Kadazan, dan lain-lain. InsyaAllah, saya tak pernah amalkan prejudis terhadap mereka walaupun mereka anak orang Islam, misalnya memberi markah lebih hanya berdasarkan bangsa pelajar itu [saya tahu ada yang lakukannya, mereka jawablah depan Allah nanti]
Tapi untuk seketika ini, menjadi seorang warganegara Malaysia berbangsa Cina dan beragama Islam bukanlah satu gabungan yang mudah dipikul. 

Surah al-maaidah ayat 8 bermaksud: 
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

-Perkongsian daripada sister NurAliya Yeoh

Tiada ulasan :