Sepatah Kata Dari Admin

Berkata Admin BuduMasham:

"Sekiranya didapati artikel dan tulisan dalam blog ini menyalahi sunnah, maka tinggalkan blog ini, dan ikutilah sunnah. Apa yg baik, diambil, apa yg buruk, jangan segan-segan untuk menegur"

Followers

Tweet!

Like This Blog!

Ahad, 6 Januari 2013

Mengenal Puak Ahbash



Muqaddimah
Masyarakat Islam di Malaysia hidup dengan aman dan permai dengan berpegangkan Mazhab Syafie dalam fiqh dan aliran Asya’irah dalam aqidah. Aliran Asya’irah merupakan salah satu aliran pemikiran golongan Ahli as-Sunnah Wa al-Jamaah, di samping aliran Salafi dan Maturidiyyah. Sungguhpun terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam permasalahan fiqh, dan juga cabang-cabang aqidah, manun khilaf ini tidak menimbulkan perpecahan dan permusuhan. Ini kerana sikap saling hormat menghormati masih wujud, di samping semua pihak memahami bahawa tiada siapa pun yang wajib dipegangi perkataannya secara mutlaq (seratus peratus) kecuali Rasulullah s.a.w. Namun, kedamaian dan sikap hormat menghormati ini akan digantikan dengan perpecahan dan permusuhan yang berpanjangan jika pengaruh kumpulan Ahbash masuk dan merebak di Negara yang tercinta ini. Dan tanah air ini mungkin tanah yang sangat subur bagi kumpulan ini (jika tidak diawasi), kerana mereka mendakwa berfahaman Asyairah dan bermazhab Syafie. Mereka juga bergerak dengan namaJam’iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah.

Pengenalan Tentang Kumpulan Ini
Ia adalah satu kumpulan yang mula timbul di Lubnan di bawah pengaruh pengasasnya iaitu Abdullah al-Harari al-Habasyi. Kumpulan ini mengambil peluang daripada kejahilan dan kemiskinan kesan daripada perang saudara yang berlaku di sana untuk menyebarkan ajaran falsafah ilmu Kalam dan Tasauf Batiniah. Ia adalah dengan tujuan merosakkan pegangan aqidah umat Islam dan memecah belah kesatuan mereka yang mana akhirnya memalingkan mereka daripada perkara asasi (yang penting kepada mempersoalkan perkara yang remeh temeh) [WAMY: 427]

Pengasas Kumpulan al-Ahbash
Nama sebenar kepada Abdullah al-Harari al-Habasyi ialah Abdullah bin Muhammad. Digelar al-Harari al-Habasyi kerana dia berasal dari kawasan Harar di Habsyah. Pada asalnya dia mengikuti Thariqat Tijaniyyah dan dari situlah bermulanya keganjilannya. Kemudian dia mengikuti Thariqat Rifa’iyyah. Dari Habsyah beliau berhijrah ke Syria, dan kemudiannya ke Lubnan. Dan antara sebab penghijrahan beliau ialah kerana beliau telah menimbulkan masalah kepada Ma’had Tahfiz di sana, di mana beliau bersekongkol dengan pemerintah di sana sehingga menyebabkan Ma’had Tahfiz tersebut terpaksa ditutup dan Mudirnya (Pengetuanya, Ibrahim Hasan) pula terpaksa meringkuk 23 tahun dipenjara serta dibuang daerah. Dan disebabkan al-Harari bersekongkol dengan pemerintah di sana, ramai di kalangan ulamak di sana terpaksa lari ke Mesir dan juga Arab Saudi. Dari situlah beliau digelar sebagai al-Fattan (pencetus fitnah dan masalah), atau digelar juga Syeikhul Fitnah. [WAMY: 427]

Setelah berada di Lubnan, beliau mula menyebarkan ajaran aqidahnya yang mempunyai unsur syirik, unsur Jahmiyyah dalam masalah sifat Allah SWT, unsur Murji-ah, Jabariyyah, Tasauf Batiniyyah dan juga unsur Syiah, mencela sahabat, menuduh Siti Aisyah r.a. melakukan dosa di samping fatwa-fatwanya yang pelik. Namun, beliau berjaya mempengaruhi sebahagian pengikut yang mana akhirnya menganggap bahawa bukanlah muslim yang sebenar melainkan yang berfahaman sebagaimana fahaman beliau. [WAMY: 428].

Dan jika kita membaca biodata Syeikh al-Harari ini sebagaimana yang ditulis oleh kumpulan al-Ahbash, maka seolah-olah kita membaca biodata seorang ulamak terunggul yang jarang dijumpai di abad ini. Namun, hakikatnya biodata itu kebanyakannya tiada asas dan penuh dengan pembohongan. Dikatakan dia pernah menjadi Mufti di Somalia, namun hakikatnya dia tidak memahami bahasa Somalia pun, dan hanya sekali sahaja ke Somalia. Dikatakan berketurunan Quraish, sedangkan ia hanyalah dakwaan semata-mata. Dikaitkan dengan keramat-keramat seorang wali, sedangkan tidak dipastikan kesahihan cerita-ceritanya. Bahkan sampai tahap keramat yang dinisbahkan kepada Syeikh al-Habasyi bahawa Rasulullah s.a.w. datang ke rumahnya untuk mengajak beliau bertawaf bersama, dan akhirnya Nabi s.a.w. menghantarnya pulang ke rumah beliau, kerana menghormati keilmuan Syeikh al-Habasyi ini. [AHBASH, 1, 27- 79]

Ajaran Dan Pegangan Mereka
  1. Kumpulan Al-Ahbash mendakwa mereka adalah bermazhab Syafie, namun sebenarnya mereka sangat jauh daripada fahaman Imam Syafie. [WAMY: 428]
  2. Al-Habasyi menyangka bahawa Jibril yang mengatur lafaz al-Qur’an, dan bukannya Allah SWT. [WAMY: 428]
  3. Dalam masalah keimanan, ada unsur Murji-ah dalam pegangan mereka. Ini kerana mereka memisahkan amalan dengan keimanan. Seseorang itu masih lagi mukmin sekalipun meninggalkan solat dan juga semua kewajiban. Kerana inilah mereka tidak menganggap satu kesalahan yang besar tidak berhukum dengan hukum Allah SWT. [WAMY: 428]
  4. Dalam masalah Qadar, mereke terpengaruh dengan ajaran Jabariyyah. Ini kerana mereka menganggap Allah SWT yang membantu si kafir untuk kafir. Tanpa bantuan Allah SWT, si kafir tidak akan mampu untuk kufur. [WAMY: 429]
  5. Al-Ahbash menggalakan supaya berdoa memohon hajat dengan kubur. Ini kerana mereka menganggap bahawa orang yang berada dalam kubur mampu untuk keluar membantu orang yang memohon bantuan dengan mereka. [WAMY: 429]
  6. Al-Ahbash banyak menerima hadis dhoif dan juga palsu yang bersesuaian dengan pegangan mereka, sebagaimana mereka banyak menolak hadis sohih yang bercanggah dengan pegangan mereka. [WAMY: 429]
  7. Al-Habasyi banyak mengutuk para sahabat Nabi s.a.w., terutamanya Muawiyah r.a. dan Siti Aishah r.a. Dia juga pernah mengkritik Khalid bin al-Walid r.a. Dan dia menganggap orang yang keluar daripada mentaati Saidina Ali mati dalam keadaan Jahiliyyah. (Pengaruh Syiah) [WAMY: 429]
  8. Al-Habasyi menganggap bahawa Allah SWT menciptakan alam ini dan juga mengutuskan para Rasul tanpa sebarang hikmah. Dan sesiapa yang mengaitkan perbuatan Allah SWT dengan hikmah, maka dia adalah musyrik. [WAMY: 429]
  9. Al-Habasyi telah mengkafirkan ramai ulamak. Dia menganggap bahawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah sebagai kafir, dan menganggap antara kewajiban yang utama bagi seorang mukallaf ialah mengkafirkan Ibn Taimiyyah. Begitu juga dia menganggap Imam az-Zahabi sebagai seorang yang keji. Dia juga menganggap bahawa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai seorang penjenayah, pembunuh dan seorang yang kafir. Dia juga mengkafirkan Syeikh al-Albani, Sayyid Sabiq (menganggapnya sebagai seorang Majusi) dan juga Sayyid Qutb (menganggapnya sebagai seorang khawarij yang kafir). [WAMY: 429].Bahkan al-Ahbash juga telah mengkafirkan Imam IBn Khuzaimah, dan menganggap kitab al-Tauhid karangan Ibn Khuzaimah sebagai kitab al-Syirk. Dan antara yang dikafirkan atau yang dianggap sesat oleh golongan al-Ahbash (selain tadi) ialah al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Imam Ibn al-‘Izz al-Hanafi, Mufti Lubnan Syeikh Hasan Khalid, Syeikh Muhammad Ali al-Juzu, Syeikh Yusof al-Qardhawi, Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, Syeikh Hasan Qatharji, Dr Fathi Yakan, Dr Faisal Maulwi dan lain-lain lagi. [AHBASH, 2, 1167-1173].
  10. Kumpulan Al-Ahbash sangat membenci orang yang menyanjung Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Imam Muhammad bin Abdul Wahhab, dan mereka melabelkan golongan ini sebagai Wahhabi. Dan mereka sangat banyak memfitnah golongan ini. Antaranya mereka mengatakan bahawa golongan Wahhabi ini menyatakan bahawa Allah akan binasa kecuali mukaNya sahaja, Abu Lahab dan Abu Jahal lebih bertauhid daripada orang yang mengucapkan La Ilaha illah, bahkan Wahhabi membenci dan memerangi kalimah tersebut, aqidah Wahhabi sama dengan Yahudi yang mengatakan Allah penat setelah menciptakan langit dan bumi. Bahkan mereka menyatakan bahawa Imam Wahhabi akan marah bila disebut nama Nabi s.a.w., dan membenci untuk berselawat kepada baginda, dan menganggap orang yang menyaringkan berselawat selepas azan seolah-olah berzina dengan emak sendiri. Inilah antara fitnah-fitnah yang telah dilemparkan oleh golongan Ahbash terhadap pencinta golongan Salaf. [AHBASH, juz 2, m/s1148-1165].Senjata inilah yang biasa digunakan oleh al-Ahbash untuk golongan yang tidak sebulu dengan mereka, dengan menuduh mereka sebagai Wahhabi. Berkata Dr Yusor Qardhawi: “Antara perkara yang pelik ialah golongan al-Ahbash menuduhku sebagai seorang Wahhabi yang taksub dengan ulamak-ulamak Wahhabi…” [Fatawa Qardhawi: 3, 689]
  11. Golongan al-Ahbash sangat mudah mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka. Mereka juga mewajibkan untuk mengkafirkan Muktazilah, sedangkan Imam Nawawi menyatakan: “Para salaf dan khalaf menganggap tidak mengapa bersolat di belakang Muktazilah dan yang seumpama mereka (yang sesat), mengahwini mereka, mewarisi harta mereka…”[al-Majmu’, juz 4, m/s 254]. Mereka juga mengkafirkan sesiapa sahaja yang melakukan perkara kekufuran, sekalipun dengan jahil hukumnya. [AHBASH, 2, 645-697]
  12. Al-Ahbash juga mengkafirkan seseorang secara mu’ayyan (menentukan nama seseorang), sedangkan para ulamak muslimin hanya menyebutkan asas-asas yang boleh membawa kepada kekufuran, tanpa menentukan nama seseorang. Mereka juga tidak menerima alasan jahil sebagai uzur (yang menghalang) daripada menjadi kafir. Dan antara perkataan yang boleh membawa kafir pada pandangan mereka ialah berkata kepada seorang kafir: “Semoga Allah memuliakanmu”, atau “Semoga Allah mengampunkanmu”. Begitu juga kafir orang yang menamakan tempat-tempat ibadat orang kafir sebagai rumah Allah. [AHBASH, 2: 645-661]
  13. Al-Ahbash juga mengkafirkan sesiapa sahaja yang jahil sifat Allah SWT yang thabit dengan akal, tetapi (tidak kafir) jahil sifat Allah yang thabit dengan naql (Qur’an dan Hadis), sedangkan Imam Syafie berkata: “Dan kami tidak akan mengkafirkan seorangpun yang jahil tentangnya (sifat-sifat Allah) melainkan setelah sampai khabar (ilmu) tentangnya (sifat-sifat Allah) kepadanya”. Dan yang thabit dengan akal pada pandangan mereka ialah sifat Allah yang tiga belas itu. [AHBASH, 2, 677-683]
  14. Al-Ahbash tidak menerima pembahagian tauhid kepada Tauhid Uluhiyyah, Rububiyyah dan al-Asma’ Wa as-Sifat. Bahkan mereka menganggap pembahagian ini adalah satu perkara yang bid’ah, sedangkan ketiga-tiga tauhid ini disebutkan dengan jelas di dalam al-Qura’n. [AHBASH, 1, 228-237]
  15. Al-Habasyi juga menyanjung Ibn Arabi yang berfahaman “Wehdatul Wujud” dan menganggapnya sebagai Syeikhul Islam. [WAMY: 429] Sedangkan kita memahami bahawa tiada satu kekufuruan yang melebihi kekufuran “Wehdatul Wujud”.
  16. Al-Habasyi mengajak kepada mengikuti ajaran tasauf, Tarikat Naqsyabandiyyah dan juga Tarikat Rifa’iyyah. [WAMY: 429].
  17. Al-Habasyi juga banyak mengeluarkan fatwa yang menyimpang. Dia mengharuskan menggunakan helah dalam perkara keagamaan. Dia menghalalkan melihat kepada perempuan. Bahkan tidak mengapa bersalaman dengan perempuan, dan boleh bagi perempuan keluar dalam keadaan berhias dan memakai bau-bauan, walaupun tanpa keizinan suami. [WAMY: 430]
  18. Al-Ahbash juga menganggap si kaya yang memiliki kekayaan wang ringgit (sekalipun banyak) tidak perlu mengeluarkan zakat, bahkan boleh memakan riba (dalam wang ringgit) dengan alasan ia bukanlah emas dan perak. [Fatawa Qardhawi, 3, 685].
  19. Mereka juga membolehkan seseorang meninggalkan solat fardhu jumaat jika memakan bawang atau meletakkannya di dalam poket bajunya. [Fatawa Qardhawi, 3, 685].
  20. Al-Ahbash telah menimbulkan kekacauan kepada kaum muslimin di Amerika dan Kanada berkaitan dengan kiblat, sehingga akhirnya dibina masjid yang khusus untuk mereka. Ini kerana mereka telah mengubah kiblat sebanyak 90 darjah, yang menyebabkan mereka menghadap kepada bukan kiblat kaum muslimin. Ini kerana mereka menganggap bahawa bumi ini berbentuk separuh bulat seperti bentuk separuh sebiji limau. Manakala di Lubnan pula, mereka akan bersolat setelah selesainya jemaah masjid. Mereka juga dikenali dengan suka menggunakan masjid untuk menyebarkan fahaman sesat mereka (tanpa keizinan sehingga sanggup memukul para imam masjid). [WAMY: 430]
  21. Al-Ahbash juga menganggap bahawa syafaat Nabi s.a.w. hanyalah untuk orang yang melakukan dosa-dosa besar sahaja, dan tiada syafaat untuk golongan yang bertakwa. Kerana inilah ada di kalangan mereka yang menyatakan bahawa kita tidak memerlukan syafaat Nabi s.a.w., kerana kita bukannya orang yang melakukan dosa-dosa besar.

Kajian Dan Penulisan Tentang Kumpulan Ahbash
Allah SWT akan sentiasa menjaga kesucian agama Islam. Kerana inilah bila timbulnya sebarang kesesatan, maka sudah tentu akan ada golongan yang Allah pilih untuk memperbetulkan keadaan. Samalah juga bila timbulnya golongan Ahbash, ramai ulamak bangun menetang dan menulis tentang kesesatan dan kepincangan method golongan ini. Dan antara ulamak yang paling banyak menulis tentang kepincangan golongan al-Ahbash ialah Syeikh Abdul Rahman ad-Dimasyqiyyah. Beliau telah menulis beberapa buku tentang kesesatan golongan Ahbash. Dan kajian tentang golongan ini yang paling terperinci (yang saya tahu) ialah tesis PhD di Universiti Umm al-Qura, Makkah yang ditulis oleh Dr. Saad bin Ali as-Syahrani. Beliau telah menulis lebih daripada 1300 muka surat tentang golongan ini (dan tesis ini telah dibukukan dan dicetak dalam dua jilid).

Fatwa Ulamak Tentang Golongan Ini.
Ramai ulamak yang mengeluarkan fatwa tentang kesesatan golongan ini dan bala perpecahan yang dicetuskan oleh mereka, samada secara lisan atau bertulis. Dan antara fatwa yang telah ditulis tentang golongan ini ialah fatwa Syeikh Dr. Yusof Abdullah al-Qardhawi. Beliau telah menganggap bahawa golongan ini adalah pencetus kepada masalah dan telah meruntuhkan perpaduan kaum muslimin. Beliau menganggap golongan ini sangat bahaya kerana suka mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka, dan juga mengkafirkan ramai ulamak. Qardhawi juga menganggap bahawa mereka sangat jauh dari apa yang mereka dakwakan bahawa mereka adalah pengikut Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Sayafie. Beliau juga menganggap bahawa golongan ini adalah golongan yang jahil yang tidak mempunyai adab. Kerana inilah beliau tidak menyahut seruan debat golongan Ahbash kerana menganggap bahawa mereka tidak layak untuk berdebat dengan beliau. [lihat Fatawa Qardhawi, juz 3, m/s 685-710].

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili juga berfatwa tentang kumpulan Ahbash. Beliau menyatakan bahawa mereka adalah golongan sesat dan menyesatkan. Maka wajib menjauhi mereka dan berwaspada dengan mereka. Mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal…kerana itu hendaklah betul-betul berwaspada dengan mereka. (Jawapan lisan yang beliau berikan ketika ditanya tentang kumpulan Ahbash dan ia boleh didapati dalam laman web yotube). Beliau juga pernah menyarankan supaya jangan menerima pinangan ahli kumpulan Ahbash kerana pendapat dan fikrah kumpulan ini berbeza dengan majoriti umat Islam. Beliau bimbang timbulnya perbalahan dan masalah kerana pendapat kumpulan ini yang syaz (ganjil dan pelik). [Rujuk: bankahbash.blogspot.com/]

Dr. Mohd Said Ramadhan al-Buthi pula menyatakan bahawa kumpulan ini banyak mengkafirkan kaum muslimin. Mereka mengkafirkan Syeikh Mutawalli Sya’rawi, Qardhawi dan mereka juga mengkafirkanku. Boleh jadi mereka menganggap hanya mereka sahaja kaum muslimin yang ingin sampai kepada Allah. [Rujuk: bankahbash.blogspot.com/]

Mufti Mesir, Dr. Ali Jumu’ah dalam fatwanya menyatakan bahawa Kumpulan Ahbash ini ada zahir dan batinnya. Zahirnya mereka bermazhab Syafie dalam fiqh dan mazhab Imam al-Asy’ari dalam aqidah. Dan batinnya pula ialah mengkafirkan kaum muslimin, memburukkan kaum mukmin, dan bekerja (dengan bayaran) untuk musuh-musuh Islam dan kaum muslimin. Beliau juga menyatakan bahawa kumpulan Ahbash bersekongkol dengan Yahudi dan kuncu-kuncunya. Dan katanya lagi, demi melebarkan pengaruhnya, kumpulan ini sentiasa menyelindungi hakikat sebenar mereka, kerana itulah batin yang tersembunyi tidaklah ditulis dalam buku-buku mereka. Disebabkan keterlaluan mereka dalam menimbulkan fitnah, Dr Ali menyatakan, bahawa tidaklah diketahui apakah penyakit jiwa atau penyakit akal yang menimpa mereka sehingga mereka melampaui dalam perkara yang mereka sendiri tidak mengetahuinya. Beliau juga menytakan sudah keluar beberapa fatwa yang rasmi tentang keburukan kumpulan ini. Antaranya Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah, Universiti Azhar, al-Hai’ah al-Ammah Li Idarah al-Buhuth al-Ilmiyyah Wa al-Ifta’ Wa al-Da’wah Wa al-Irsyad, (Majlis Fatwa Arab Saudi), dan al-Majlis al-A’la Li al-Ifta’ di Amerika Utara. [Rujuk: http://www.islamonline.net] (Dan fatwa ini telah disiarkan di Islamonline.net pada 24 November 1999)

Rektor Universiti Azhar Dr Ahmad Umar Hasyim juga menyatakan bahawa Universiti al-Azhar tidak mempunyai sebarang kaitan dan perjanjian persefahaman dengan kumpulan Ahbash ini. Ini kerana Universiti al-Azhar tidak akan mengadakan sebarang perjanjian kerjasama dengan kumpulan yang tidak jelas pegangannya al-Qur’an dan juga Hadis. (Surat bertarikh 28 Ogos 2001, bersamaan 9 Jamadil Akhir 1422H, yang difakskan oleh beliau kepada Mudir (Ketua Eksekutif) Rabitah al-Alam al-Islami).


Kesimpulan
Kumpulan Ahbash adalah satu kumpulan yang mana zahirnya mereka menampakkan keIslaman, namun batinnya ia cuba memusnahkan ajaran Islam yang suci ini. Ajaran Ahbash yang menyeleweng dan sikap mereka yang suka mengkafirkan orang yang tidak sependapat dengan mereka adalah satu perkara yang boleh menimbulkan konflik dalam perpaduan masyarakat Islam. Apatah lagi sikap mereka yang suka memfitnah dan memburuk-burukkan sesiapa sahaja yang menyanjung Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Imam Muhammad bin Abdul Wahhab. Ini boleh memburukkan lagi keadaan. Kerana itu, janganlah kita terpengaruh dengan ajaran sesat ini, dan juga tingkah laku mereka yang suka memburuk-burukkan orang lain. Al-Ahbash telah menjadikan ulamak dan kaum muslimin sebagai musuh mereka dan bukannya Yahudi dan si kafir yang menindas kita.

Inilah pengenalan ringkas tentang kumpulan Ahbash. Semoga kita semua terselamat daripada bala kesesatan, fitnah memfitnah dan perpecahan. Amin.

Rujukan:
Tesis PhD tentang al-Ahbash, karangan Dr. Saad bin Ali as-Sayhrani (AHBASH). [http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1241]
Al-Mausu’ah al-Muyassarah Fi al-Adyan Wa al-Mazahib al-Mu’asirah, terbitan al-Nadwah al-Alamiyyah Li as-Syabab al-Islami [WAMY] [http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1243].
Fatawa Syeikh Dr Yusof al-Qardhawi.
http://www.islamonline.net
http://bankahbash.blogspot.com/

Tiada ulasan :