Sepatah Kata Dari Admin

Berkata Admin BuduMasham:

"Sekiranya didapati artikel dan tulisan dalam blog ini menyalahi sunnah, maka tinggalkan blog ini, dan ikutilah sunnah. Apa yg baik, diambil, apa yg buruk, jangan segan-segan untuk menegur"

Followers

Tweet!

Like This Blog!

Selasa, 22 Januari 2013

Haji Ahmad Haji Md Kasim : Ulama Melaka yang Berjasa

Tanah Melayu pernah melahirkan banyak Ulama yang agung di mana banyak memberi sumbangan yang besar di Malaysia suatu ketika dahulu.

Kebetulan, saya menuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam di Pantai Timur, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditugaskan untuk mengkaji ulama-ulama di Malaysia. Jadi, saya telah memilih Haji Ahmad bin Haji Md. Kasim.

Buku yang saya jadikan rujukan ialah buku yang disunting oleh Ismail Mat, Universiti Kebangsaan Malaysia yang bertajuk Ulama Silam dalam Kenangan.




Kelahiran

Haji Ahmad bin Haji Md. Kasim telah dilahirkan pada tahun 1901, di Jelebu, Negeri Sembilan, semasa ayahnya Haji Md. Kasim bertugas sebagai seorang anggota polis yang berpangkat Sarjan Mejar. Beliau telah kehilangan ibunya ketika berumur enam bulan. 

Peristiwa kehilangan ibu yang dialaminya sungguh menyayat hati. Pada malam ibunya pergi kembali kerahmatullah, beliau menangis kehausan untuk mendapatkan susu. Ibunya yang terbujur di atas tilam dan sedang menunggu saat panggilan ilahi itu tidak berupaya untuk menyusukannya. 

Setelah kematian ibunya, beliau disusui oleh orang lain di Jelebu. Oleh kerana itulah beliau juga mempunyai saudara sesusu dan kerabat yang masih lagi hidup pada masa kini di Jelebu 

Apabila ayahnya bersara dari jawatan polis,mereka sekeluarga telah pulang ke tempat asal mereka, iaitu Kampung Paya Rumput, Melaka. Haji Ahmad bin Haji Md. Kasim mempunyai tiga orang kakak seibu sebapa iaitu Rahman, Taksiah dan Zahrah. Beliau juga mempunyai adik beradik sebapa tetapi berlainan ibu, kerana bapa beliau berkahwin dengan Halimah setelah pulang ke Kampung Paya Rumput, Melaka. Mereka itu adalah Mariah, Haji Rahmat, Aminah dan Rahilah. 

Haji Md. Kasim telah dilantik untuk memegang jawatan penting di kampong tersebut sebagai penghulu. Oleh kerana kecemerlangan perkhidmatannya, beliau dinaikkan pangkat menjadi Demang sehingga beliau meninggal dunia. 



Pendidikan 

Sejak berumur dalam lingkungan lima tahun, peranan pendidikan Islam diambil oleh ayahnya sendiri yang secara kebetulan bertugas sebagai imam. Kemampuan sebagai imam di dalam pengajaran al-Quran dan ilmu agama tidak perlu dipertikaikan lagi, sebab itulah beliau tidak perlu pergi belajar membaca al-Quran daripada Tok Guru yang lain. 

Ketika beliau berumur tujuh tahun, sama seperti kebanyakkan kanak-kanak yang lain di kampong, beliau telah dihantar oleh bapanya ke Sekolah Melayu, Paya Rumput. Setelah tamat pengajiannya pada umur 13 tahun, beliau telah menunjukkan minat yang tinggi untuk belajar ilmu agama. Di kampong Sungai Udang terdapat seorang Tok Guru yang terkenal pada masa itu iaitu Haji Mad Ali. Oleh kerana ketinggian ilmu agama, beliau telah dilantik sebagai kadi. Haji Ahmad bin Md. Kasim tidak melepaskan peluang ini untuk berguru dengan Tok Guru itu. 

Semangat beliau untuk belajar ilmu agama lebih mendalam lagi semakin kuat apabila beberapa orang ulama dari Palembang, Sumatra datang ke rumah Haji Md Ali di Sungai Udang dan mengadakan muzakarah agama. Beliau begitu tertarik hati dengan kebijaksanaan seorang ulama dari Palembang yang bernama Haji Md. Mukhtar Palembang. Oleh kerana itu, beliau telah pergi belajar di Palembang pada tahun 1915 dan berguru kepada ulama tersebut. 

Beliau belajar selama empat tahun di Palembang. Setelah tamat pengajiannya disana, beliau kembali ke Melaka pada tahun 1919. Kepulangannya amat dibanggakan oleh penduduk tempatan kerana kembalinya seorang ulama yang bakal memimpin dan mendidik anak-anak mereka ke jalan yang diredhai Allah s.w.t. Haji Ahmad bin Md. Kasim benar-benar tidak menghampakan harapan penduduk disitu kerana beliau telah dapat menunjukkan ketokohannya sebagai seorang ulama. Tetapi beliau masih belum berpuas hati dengan ilmu yang beliau miliki. Beliau bercita-cita untuk belajar ilmu agama di Mekah. Azamnya itu amat kuat dan meluap-luap. Dengan hati yang berdebar-debar, beliau pergi berjumpa dengan ayahnya dan permintaan itu tidak berjaya kerana tidak dipersetujui oleh ayahnya. 

Betapa kuat semangat beliau untuk melanjutkan pelajarannya ke Mekah dapat kita lihat apabila beliau mengambil keputusan untuk pergike Mekah tanpa mendapat izin daripada ayahnya. Tetapi hasratnya itu tidak dilaksanakan setelah difikirkan dengan masak. Sebaliknya beliau masih lagi belum berputus asa untuk meminta kebenaran ayahnya. Kali ini beliau meminta izin secara tidak langsung melalui ibu tirinya (Halimah). Ibu tirinyalah yang menyampaikan hasrat hati beliau. Permintaan beliau itu disampaikan oleh ibu tirinya ketika ayahnya baru bangun dari tidur. Haji Md. Kasim terpegun sebentar memikirkan tentang keazaman anaknya itu. Setelah berfikir panjang, tanpa mengeluarkan sepatah kata, beliau terus pergi ke Melaka untuk menguruskan segala keperluan bagi keberangkatan Haji Ahmad ke Mekah. 

Sebelum Haji Ahmad belayar ke Mekah,persetujuan telah dicapai di mana ayahnya tidak akan menghantar wang perbelanjaan ketika beliau berada di Mekah. Syarat itu tidak sedikit pun melemahkan tekadnya untuk melanjutkan pelajarannya, walaupun beliau sedar betapa beratnya tugasbeliau di Mekah kelak untuk mencari rezeki dan menuntut ilmu. Haji Ahmad yakin bahawa bumi Allah ini luas dan rezeki Allah berada dimana-mana sahaja. Apa yang diperlukan ialah keimanan, ketabahan, tawakal dan ketekunan. 

Semasa beliau berada di Mekah, beliau telah bekerja sebagai tukang jahit. Hasil daripada titik peluh itu mencukupi untuk menyara dirinya bagi membolehkan beliau berguru dengan ulama besar sama ada di rumah mereka atau di Masjid Mekah. Selama lebih kurang dua belas tahun beliau berada di Mekah (1919-1931), beliau berkesempatan memenuhkan dadanya dengan ilmu pengetahuan yang banyak. Antara ulama yang berjaya dan mempengaruhi beliau ialah Shekh Mukhtar al-Atarid, Muhammad Jamal al-Maliki, Syekh Abbas al-Maliki, Syekh Ahmad al-Khattib al-Minangkabawi, Syekh Ahmad Zaini Dahlan, Syekh Umar Hamdan,Syekh Ihya Bugur, Syekh Muhammad Amin al-Kutubi dan banyak lagi. 

Kematangan dan kedalaman ilmu agamanya terbukti apabila beliau dijadikan guru oleh segolongan penduduk Mekah dan yang datang dari Malaysia. Di antara mereka yang pernah berguru dengan beliau ketika berada di Mekah ialah Haji Abdullah bin Shahabuddin (bekas kadi, Daerah Alor Gajah, Melaka) dan Haji Md. Zain bin mohd. Yasin. Walaupun ramai ulama ramai yang mempengaruhi keperibadian beliau, tetapi pengaruh Syekh Mukhtar al-Atarid mengatasi mereka yang lain. Buktinya anak keduanya dinamakan Mukhtar dan segala amalan zikir dan wirid diambil ijazahnya dari Md. Kasim berguru dengan beliau terlalu lama erbanding dengan guru-guru yang lain. 

Haji Ahmad bin Haji Md. Kasim kembali ke tanah air pada tahun 1931. Kemahsyuran namanya semasa berada di Mekah telah menyebabkan kepulangannya sentiasa ditunggu oleh masyarakat Melaka. Jemaah haji dan mereka yang pernah berguru kepada beliau di Mekah telah menyebarkan berita tentang ketokohan beliau di Mekah dalam ilmu agama. 


Sekolah Pondok 

Institusi pondok yang didirikan oleh Hj. Ahmad menetapkan jangka masa pengajaran yang mengambil masa antaratiga hingga lima tahun dan sukatan pelajaran yang tersendiri. Bahasa Arab adalah bahasa pengantar utama yang digunakan, di samping bahasa Melayu. Di antara mata pelajaran yang diajar dan kitab-kitab yang digunakan ialah : 



  1. Tauhid; kitab Bidayah al-Hidayah, Matan al-Sanusiyah dan lain-lain lagi. 
  2. Fikah; kitab Fath al-Qarib, Baijuri, al-Iqna, al-Irshad, Riyadah al-Salihin, Subl al-Salam, Bulugh al-Muram dan lain-lain lagi. 
  3. Tasawuf; kitab Ihya’Ulum al-Din, Minhaj al-Abidin,Hidayah al-Salikin dan sebagainya. 
  4. Mantik; kitab Sharh al-Salma 
  5. Tafsir dan Hadis; kitab Tafsir al-Jalalain, Tafsir al-Maraghi, Sunan al-Sittah dan sebagainya. 
  6. Nahu Saraf dan Balaghah; kitab al-Muqaddimah al-Jurumiah, Matan al-Jurumiah, Sharh Ibn Aqil, Sharh al-Fiyah, Muktasar al-Maani, al-Balaghah al-Wadihah, al-Maqsur dan lain-lain lagi. 

Ilmu umum seperti bahasa Inggeris, ilmu perubatan dank hat juga diajarkan di pondok tersebut, kitab yang digunakan ialah Tib a-Nabawi dan Mujrabat. Beliau amat mementingkan bahasa Inggeris walaupun beliau sendiri tidak dapat berbahasa Inggeris. Segala-galanya adalah berpunca daripada kesedarannya ketika berhubung dengan pihak pemerintah Inggeris di Melaka. Menyedari hakikat ini beliau telah melantik seorang guru Bahasa Inggeris yang bernama Muhammad Kelantan. 

Beliau amat mengutamakan pengajaran al-Quran, dimana setiap murid dikehendaki bukan sahaja boleh membaca dengan lancar, tetapi mesti menguasai tajwid dengan sebaik-baiknya. Beliau juga mengutamakan lagu yang baik. Di antara Ketua Muzakarah yang ditugaskan khas juga perkara ini ialah Haji Hassan bin Muhammad. Pelajaran khat juga dititikberatkan oleh beliau. Haji dahlan bin Haji Salih yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dan ipar kepada Haji Ahmad bin Haji Md. Kasim ditugaskan menjadi guru khat. 

Setelah Haji Ahmad bin Haji Md. Kasim meninggal dunia pada 11 Mei 1943, pengajaran di pondok tersebut diteruskan lagi oleh murid-murid beliau yang kanan seperti Haji Abdullah bin Haji Shahabuddin, Haji Md. Zain bin Haji Md. Yasin dan Haji Rahmat bin Hj. Md. Kasim. Pada tahun 1945 nama pondok telah diubah sedikit dengan nama Madrasah al-Husniyah Li Shariah al-Muhammadiyah yang terus menabur jasa baktinya dalam penyebaran Islam di Melaka. Ketika itu pondok tersebut telah mengeluarkan seramai 1,700 orang pelajar. 

Apabila keluarga Haji Ahmad bin Hj Md. Kasim semuanya berpindah ke Mekah pada tahun 1953 untuk memenuhi wasiat beliau, pondok tersebut mengalami kemerosotan. Lama-kelamaan menjelang tahun 1958, pondok tersebut tidak lagi dapat menjalankan peranannya sebagai pusat penyebaran Islam di Melaka seperti sebelumnya. Sejak itu ia lebih merupakan sebuah surau dan tempat perbincangan (usrah) sehingga menjelang 1977. 

Pada tahun tersebut anak-anak Haji Ahmad bin Haji Md. Kasim iaitu Datuk Hj. Muhammad, Datuk Hj. Mokhtar, Haji Nawawi dan Hj. Zainuddin telah bersepakat untuk menghidupkan semula madrasah ayahnya. Mereka telah merancang supaya madrasah tersebut dijadikan sebagai Maahad li Tahfiz al-Quran al-Karim al-Lughah al-Arabiah. Bangunan baru telah didirikn oleh mereka menggantikan madrasah yang telah uzur itu. 

Jangka masa pengajian ialah tiga tahun. Sukatan pelajaran yang dirancangkan adalah khusus untuk membolehkan mereka yang memasuki maahad tersebut, memasuki Maahad Tahfiz al-Quran di al-Azhar dan university-universiti Islam Asia Barat yang lain. Sukatan pelajarannya terbahagi kepada lima bahagian. 

1. Pengajian al-Quran yang mengandungi ulum al-Quran, bacaan, hafazan, tajwid, lagu dan ilmu tafsir 

2. Pengajian bahasa Arab yang mengandungi nahu, balaghah, mantik, insya dan mutalaah. 

3. Pengajian ilmu agama yang mengandungi akidah, fiqh, dan Usul fiqh. 

4. Pengajian bahasa yang mengandungi peajaran Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. 

5. Pengajian ilmu kemasyarakatan di antaranya sejarah Islam, falak, geografi dan sejarah Malaysia. 

Murid-murid yang diterima masuk di maahad tersebut mestilah mempunyai syarat-syarat kelayakan : 

· Memiliki syahadah 1 dadiyah yang diakui oleh kerajaan Malaysia 

· Mempunyai rekod yang baik di sekolah asalnya 

· Lulus ujian lisan dan tulisan 

· Pelajar yang diterima dikehendaki membayar wang hemat diri antara $100.00 hingga $500.00. 

· Dikehendaki bertingkah laku dengan baik semasa berada di maahad tersebut 



Di samping secara khusus Hj. Ahmad bin Hj. Md. Kasim bertanggungjawab menyebarkan dakwah Islam di pondoknya dengan ratusan murid yang tetap, beliau juga aktif dalam menjalankan dakwah di luar pondok. Beliau mengajar di masjid-masjid seluruh Melaka dan Negeri Sembilan. Pada siang hari beliau sentiasa berada di pondoknya, tetapi pada sebelah malam sepanjang hidupnya dipenuhi dengan syarahan di merata-rata tempat. 

Pada malam Sabtu beliau mengajar di Masjid Air Baruk, Masjid Rim, Masjid Simpang Kerayung dan Masjid Benban. Beliau mengajar di dua buah masjid satu malam dan diselang dua minggu sekali. 

Pada malam Ahad pula, beliau mengajar di Masjid Rambau, Masjid Gemencheh, Masjid Geduk dan Masjid Sungai Dua yang semuanya berada dalam Negeri Sembilan. Pengajaran di masjid-masjid ini juga dilakukan secara bergilir-gilir. 

Cara beliau mengajar juga agak berlainan daripada cara yang dilakukan oleh ulama yang lain sama ada semasa atau selepasnya, iaitu beliau tidak pernah membelakangkan kiblat. Beliau sentiasa mengadap kiblat ketika mengajar manakala para hadirin duduk bersila mengelilingi beiau memenuhi ruang tengah masjid tersebut. 

Di mana-mana sahaja beliau berada sama ada di pondok ataupun di masjid-masjid beliau sentiasa memakai serban dan jubbah. Ini merupakan salah satu factor mengapa beliau terlalu dihormati oleh penduduk sebagai tanda kezuhudan dan warak. Orang ramai begitu tertarik dengan syarahan beliau yang menggunakan cara yang lemah lembut dan bijaksana serta kias ibarat yang menyenangkan hati. Beliau tidak pernah mengeluarkan kata-kata yang pedih untuk membetulkan sesuatu kemungkaran yang terdapat dalam masyarakat. 

Kesan yang paling nyata daripada pengajarannya dan dakwah ialah sebahagian besar para imamyang berkhidmat di masjid-masjid di seluruh negeri Melaka dan Negeri Sembilan pada hari ini adalah bekas murid beliau. 

Pondok Haji Ahmad bin Haji Md. Kasim juga telah berjaya melahirkan ramai pembesar Negara. Di antaranya Hj. Abd. Malik bin Yusof, bekas Gabenor Negeri Melaka, Datuk Baginda Tan Mas, Hj. Abd. Rahman bin Mat Som, Timbalan Datu’ Johol, Yang Berhormat Hadi Ahmad Dahlan Md. Salih, pernah menjawat EXCO Kerajaan Negeri Melaka dan kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sebatu dan lain-lain. 

Oleh kerana jauhnya tempat yang beliau perlu kunjungi untuk kerja-kerja dakwah, Haji Ahmad bin Hj. Md. Kasim telah membeli kerata. Pada mulanya beliau memakai kerata Moris Minor yang bernombor plat N 91. Kemudian beliau memakai kereta Austin Eleven yang bernombor plat M 54. Sejak tahun 1934 hingga tahun 1943 beliau mempunyai 6 orang pemandu. Di Melaka atau di tempat-tempat lain di Malaysia pada ketika itu sukar ditemui seorang ulama yang mampu membeli kerata. Kereta pada ketika itu hanya dimiliki orang beberapa orang kaya dan pegawai tinggi kerajaan sahaja. Kemampuan beliau membeli kereta membuktikan bahawa beliau adalah seorang yang bijaksana. 



Hasil Karya 

Haji Ahmad bin Haji Md. Kasim hidup dalam satu jagka masa yang agak pendek. Beliau meninggal dunia pada 11 Mei 1943. Walaupun masa hidupnya dipenuhi dengan aktiviti pengajrannya di pondok dan di masjid-masjid seluruh negeri Melaka dan Negeri Sembilan, namun beliau sempat menghasilkan beberapa karya. Antaranya ialah terjemahan dan suntingan kitab Talim al-Mutaallim daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu dengan tajuk Talim al-Mutaalim bi al-Jawi. Kitab itu kemudiannya diperkenankan oleh D.Y.M.M Sultan Perak iaitu Sultan Iskandar Shah dan dicetak pada tahun 1937 oleh Matbaah al-Zainiyah, Taiping, Perak. Kitab susunan beliau yang lain ialah Ratib al-Hadad. 

Kitab yang pertama merupakan perbincangan tentang tiga belas perkara utama. 

1. Menelanjangi hakikat ilmu dan kelebihan mempelajarinya khusus ilmu fiqh. 

2. Membicarakan tentang hakikat niat bagi seorang murid ketika belajar. 

3. Membicarakan tentang bagaimana untuk memilih ilmu yang mesti dipelajari kerana umur seorang itu terhad.guru yang bagaimana pula yang harus diutamakan dan sahabat yang mana pula yang harus dibuat kawan semasa belajar. 

4. Membicarakan segala yang berkaitan dengan hokum mengagungkan ilmu pengetahuan dan ulama 

5. Membicarakan tentang kepentingan kesungguhan dan azam yang kuat untuk menuntut ilmu 

6. Membicarakan tentang bagaimana untuk memulakan satu pengajian 

7. Membicarakan tentang kepentingan sifat tawakal dalam menuntut ilmu 

8. Membicarakan tentang kepentingan berkasih sayang dan nasihat-menasihati antara satu sama lain 

9. Membicarakan bagaimana mendapatkan sesuatu kebajikan 

10. Membicarakan tentag kepentingan sifat warak ketika menuntut ilmu 

11. Membicarakan tentang hakikat hafaz dan lupa 

12. Membicarakan tentang sebab-sebab yang boleh memurahkan rezeki seseorang 

13. Membicarakan tentang masa yang baik untuk menuntut ilmu 

Disamping kitab-kitab yang tersebut di atas, beliau telah meninggalkan sebuah hasil karya aslinya, tetapi belum sempat dicetak dan masih berada di peringkat penulisan. Hasil karya asli beliau ini juga membicarakan mengenai suatu yang ada kaitannya dengan kewajipan menuntut ilmu, sama ada ilmu fardhu ain atau fardhu kifayah. Jika usianya dipanjangkan oleh Allah s.w.t tentu kitabnya dapat kita tatap bersama. Namun demikian, karya asalnya yang belum siap ada dipamerkan dalam Majlis Memperingati Tokoh Ulama Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1982.


Penutup 

Di Malaysia, boleh dikatakan ramai yang melahirkan para ulama Melayu. Hj. Ahmad bin Hj. Md. Kasim antara ulama yang banyak berjasa kepada penduduk Melaka. Hasil daripada kerja keras para ulama di Malaysia, dapat kita membaca dan menuntut sedikit ilmu daripada mereka. Akhirnya, lahirlah generasi yang mencintai ilmu agama. 

Semuanya atas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengetahuan ilmu agama. Ilmu agama adalah penyuluh kehidupan seseorang. Selain itu, timbul kesedaran kerja-kerja dakwah di Malaysia yang menimbulkan fenomena masyarakat yang mencintai ilmu agama. 

4 ulasan :

pengganasry berkata...

arwah datuk ..semoga ditempatkan dikalangan orang yang beriman...amin

Unknown berkata...

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
لَا اِلَهَ اِلَّا الله مُحَّمَدُ رَسُولُ اللهِ فِى كُلِّ اَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَ مَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ

Al Fatiha kepada arwah Datuk Ku, semuga dicucuri rahmat Al Rahman dengan salam Al Rahim.

Unknown berkata...

Salam encik ada kaitan persaudaraan dengan beliau ke?

khalil berkata...

Assalamualaikum;

Berita terkini.

Anak bongsu Tuan Guru Hj Ahmad iaitu Hj Zainuddin baru sahaja meninggal dunia pada pukul 6:00 pteang semalam di HUKM.

Jenazah beliau akan di kebumikan di Tanah Perkuburan Batu 8.5, Kg. Paya Rumput, Melaka pada pagi ni.

Sama sama kita do'akan roh beliau dicucuri rahmatNya. Aamiin.

Khalil Alias
cucu saudara tuah guru hj ahmad