Sepatah Kata Dari Admin

Berkata Admin BuduMasham:

"Sekiranya didapati artikel dan tulisan dalam blog ini menyalahi sunnah, maka tinggalkan blog ini, dan ikutilah sunnah. Apa yg baik, diambil, apa yg buruk, jangan segan-segan untuk menegur"

Followers

Tweet!

Like This Blog!

Jumaat, 23 November 2012

Hudud : Antara Hikmah dan 'Illah

Oleh Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin Aljoofre

Rusydee Art's photo
“Ustaz, kalau dah laksanakan hudud pun tak kurangkan jenayah bagaimana ya? Adakah perlu kita ubahsuai semula?”

Demikianlah antara persoalan yang dikemukakan apabila isu hudud kembali menjadi selera bualan masyarakat baru-baru ini. Ada yang begitu lahap menjamahnya, ada pula yang hanya memerhati penuh giur.

Sebenarnya soalan di atas samalah jika kita boleh bertanya, “kalau dah laksanakan solat 5 waktu pun masih tak dapat ingat Allah, adakah perlu kita ubahsuai semula?”

Hikmah dilaksanakan hudud dan segala undang-undang Islam, masyarakat akan lebih aman dan terpelihara. Kezaliman dan penyelewangan dapat diatasi. Segala yang disebutkan sebagai ‘maqasid’ itu dapat dihasilkan.

Namun adakah apabila hikmah itu kita tak dapat lihat dengan mata kita yang rabun ini segala Syariat itu tidak sesuai dijalankan? Inilah sebabnya para ulamak Usul Feqh meletakkan hukum itu berputar pada ‘illahnya bukan hikmahnya. Apabila ada ‘illah adalah hukum. Tiada ia maka tiadalah hukum.

Contoh ‘illah pada isu ini adalah mencuri. Apabila adanya kes kecurian yang mencukupi syarat hudud maka adalah hukum memotong tangan. Apabila tiada maka tiadalah hukumnya.

Perbahasan ‘illah sangat teliti dan mendalam. Mereka yang hanya belajar Usul Feqh 101 yang sangat asas tak mungkin dapat menguasainya walau mungkin boleh menuturkannya. Oleh kerana itulah mereka yang tidak menguasai ilmu usul feqh, pandangannya berkenaan hukum agama kadang kala pelik atau ditolak.

Mengapa syara’ tidak meletakkan putaran hukum pada hikmah? Kerana kadangkala mata kita rabun dari melihat hikmah, sedangkan tiada satu pun hukum Allah melainkan ia berhikmah kerana Al-Quran itu sifatnya Al-Hakim. Manusia lemah seperti kita pula selalu dangkal melihatnya.

Itulah sebabnya kaedah kita adalah “apa yang Allah burukkan ia, maka ia buruk, begitu jua sebaliknya.” Noktah. Tiada kompromi pada aqidah kita ini. Berbeza dengan muktazilah yang meletakkan akal mengatasinya.

Apabila kita menapis dahulu hukum Allah samaada hendak dilaksanakan maka kita telah meletakkan akal kurniaan Allah ini lebih hebat dari perintah Allah itu sendiri. Betapa tidak sedar dirinya kita bukan?

Islam agama yang jelas. Islam juga meletakkan akal pada kedudukan yang mulia dan sesuai. Dalam masa yang sama Allah yang menciptakan kita Maha Mengetahui kadar kemampuan akal yang Dia kurniakan. Maka diturunkan hukum yang paling hikmah menepati maqasid agamanya walau sesekali akal segelintir hamba-Nya tidak memahami.

Maka sesuaikah kita selaku sang hamba menggunakan hujah maqasid untuk mengenepikan Syariah-Nya sendiri? Islam menyuruh kita bertanya apabila tidak mengerti, bukannya “lu pikirlah sendiri!”



Tiada ulasan :